Soalan:

Ayah saya kahwin empat dan ibu saya merupakan isteri pertama. Sedihnya, ayah seolah-olah lupa janji dan tidak pedulikan kami sekeluarga terutama ibu. Apa yang perlu kami lakukan? Bagaimana cara untuk kami mengembalikan keharmonian dalam berkeluarga ramai?

Tiara, Pulau Pinang.

 

Jawapan:

Semua manusia sukakan pujian, penghargaan dan kata-kata pemberi semangat serta motivasi. Tidak terkecuali ialah seorang suami dan ayah. Dalam kes di atas, apa yang boleh dilakukan oleh ialah kerap memberikan pujian, penghargaan dan kata-kata semangat serta motivasi kepada ayah.

Apabila ayah pulang ke rumah, berikan penghargaan umpama: “Terima kasih ayah kerana balik rumah hari ini. Kami sangat suka apabila ayah di rumah”. Apabila ayah melakukan sesuatu kebaikan umpama membawa keluarga jalan-jalan atau membeli sesuatu baik kecil atau besar, maka berikan pujian umpama: “Ayah memang yang terbaik. Semoga Allah memberkati ayah dan melapangkan lagi rezeki ayah!” Jika ibu kerap termenung, maka berikan kata-kata motivasi kepada ayah umpama: “Ibu sentiasa ternanti-nanti kepulangan ayah. Ibu suka bila ayah di rumah… sekejap-sekejap ibu mengintai di celah tirai menanti kepulangan ayah!”

Demikian beberapa contoh. Apa yang penting, jangan meminta itu dan ini kepada ayah seperti: “Ayah ini dah lama tak balik rumah!”, “Ayah tahu tak di sinipun ada keluarga yang perlu diberi perhatian!”, “Ayah dah lupa kepada kamikah?” atau apa-apa lain yang seumpama. Seorang ayah akan mentafsir semua itu sebagai leteran dan ceramah panjang (walaupun yang disebut hanya beberapa perkataan) dan akan menjauhi anda dan seluruh ahli keluarga.

Terakhir, jangan lupa berdoa kepada Allah agar menjadikan ayah seorang yang adil kepada semua keluarganya.