Soalan:

Saya ada seorang kawan wanita yang suka memuji kecantikan wanita lain. Dia suka tengok potongan badan wanita, solekan, rupa paras dan kadang-kadang cara dia bercakap memuji kecantikan wanita boleh membuatkan saya naik seram. Macam mana saya nak pastikan yang dia mempunyai naluri songsang atau tidak?

Diana, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Jika wujud keraguan, maka yang lebih utama ialah berbaik sangka. Justeru dalam kes di atas, berbaik sangkalah bahawa kawan itu memiliki naluri yang biasa, hanya dia sukakan kecantikan dan suka memuji kecantikan orang lain.

Memuji dibolehkan dalam Islam sebagai satu bentuk penghargaan dan pemberi motivasi. Rasulullah sendiri pernah memuji-muji sahabat-sahabatnya seperti Abu Bakar dan Umar. Hanya apa yang dilarang ialah pujian yang berlebihan kerana ia akan menjadikan orang yang dipuji itu sombong dan ego sehingga akhirnya merosakkan orang itu. Atas sebab inilah, Rasulullah pernah menegur berkali-kali orang yang memuji orang lain secara berlebihan: Celakalah kamu! Kamu telah memenggal leher sahabatmu itu! [Shahih Muslim, no: 5319/3000]