Soalan: 

Bagaimana susunan saf kanak-kanak dalam solat berjemaah dengan kanak-kanak?

Asrina Ahmat, Kepala Batas.

Jawapan:

Tidak ada perbezaan susunan atau posisi saf kanak-kanak ketika solat berjemaah dengan orang dewasa. Asalkan kanak-kanak itu sudah tahu solat, maka dia masuk saf dewasa. Jika kanak-kanak itu sampai awal ke masjid/surau, maka dia layak berada pada saf yang pertama atau di hadapan.

Jika kanak-kanak tidak tahu solat, maka langkah yang benar ialah jangan dibawa ke masjid atau surau. Ini kerana mereka hanya akan bermain-main dan berbuat bising sehingga mengganggu orang yang beribadah di sana.

Masyarakat kita biasa mengasingkan saf kanak-kanak, konon kanak-kanak itu membawa najis kerana belum khatan atau memakai lampin. Padahal Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam biasa bersolat sambil mendukung cucunya atau anak-anak yang lain tanpa mempedulikan soal najis atau tidak.