Soalan: 

Apakah yang dimaksudkan dengan amalan anak soleh yang diterima oleh ibubapanya? Adakah anak tersebut perlu meniatkan amalan tersebut khas kepada ibubapa mereka sahaja?

Zalikha Ishak, Kota Baharu Kelantan.

Jawapan:

Apa yang disebut oleh hadis bukan amalan anak soleh tetapi doa anak yang soleh. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. [Shahih Muslim, no: 3084/1631]

Contohnya ialah berdoa agar Allah mengampunkan dosa ibubapa. Ia benar-benar bermanfaat sepertimana hadis berikut: Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?” Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.” [Musnad Ahmad, no: 10202/10610 dengan sanad hasan]

Oleh itu perbanyakkan doa kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia agar Allah mengampunkan mereka, merahmati mereka dan memberikan kedudukan terbaik di alam barzakh sekarang ini.