Soalan: 

Bagaimanakah kita hendak memaafkan orang lain seikhlas hati dan bagaimana pula hendak memastikan orang berkenaan telah memaafkan kita?

Nor Fatini Fauzi Pasir Mas, Kelantan.

 

Jawapan:

Sesiapa yang inginkan syurga yang seluas langit dan bumi hendaklah bertaqwa kepada Allah dan salah satu ciri taqwa tersebut ialah memaafkan orang lain. Perhatikan firman Allah berikut ini:

Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan Syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. [Ali Imran 3:133-134]

Berdasarkan ayat di atas, apabila ada orang yang menyalahi kita, maka segeralah (1) menahan kemarahan, (2) maafkan kesalahan orang tersebut dan (3) membalasinya dengan perbuatan atau kata-kata yang baik. Inilah antara ciri-ciri orang bertaqwa yang bakal menduduki syurga Allah. Usah difikirkan sama ada orang tersebut telah memaafkan atau tidak kerana yang penting lagi diambil kira oleh Allah ialah sikap kita yang segera memaafkan kesalahan orang lain.