Soalan: 

Saya ingin tahu, siapa yang lebih berhak untuk mengangkat/mengambil air wudhu’ semasa ibu sedang sakit. Adakah anak lelaki, perempuan, menantu lelaki atau perempuan? Ini kerana ibu sedang terlantar sakit dan tidak boleh bergerak.

Fadilah Razali, Pulau Pinang.

Jawapan:

Ini adalah soalan yang baik, menandakan kesungguhan seorang anak berbuat baik kepada ibunya. Moga amal soleh ini menjadi tiket yang mempermudahkan laluan di pintu syurga, insya-Allah.

Adapun siapa yang lebih berhak, maka soalan ini tidak patut timbul. Sesiapa saja yang ada di sisi atau berhampiran ibu pada saat beliau hendak ambil wudhu’, maka dialah yang patut mewudhu’kan ibu. Tidak perlu juga timbul sah atau tidak jika yang mewudhu’kan ibu ialah seorang lelaki. Ini kerana yang lebih tepat berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan hadis yang sahih adalah, wudhu’ tidak batal apabila bersentuhan di antara berlainan jantina.

Bezakan bahawa sentuhan yang dibolehkan ia mewudhu’kan ibu yang sedang sakit. Adapun bersentuh-sentuhan antara lelaki dan wanita, jalan bergandingan tangan dan berpacaran, semua itu adalah haram melainkan jika sudah bernikah di antara satu sama lain.