Soalan:

Bila kita sambut Hari Raya atau buat rumah terbuka, lazimnya kita dapat lihat sama ada tuan rumah atau tetamu yang berhias berhabis-habisan, pakai baju cantik ikut bentuk badan dan bersolek untuk tatapan sesama tetamu. Apa pandangan ustaz tentang hal ini?

Juwairiah, Perak.

 

Jawapan:

Kita bersangka baik bahawa mereka berpakaian indah kerana kegembiraan menyambut Hari Raya. Berpakaian indah bukanlah satu kesalahan kerana Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. [Shahih Muslim, no: 131/91] Adapun pakaian yang mengikut bentuk badan dan bersolek, maka kita berbaik sangka bahawa pelakunya belum memahami ajaran Islam tentang aurat dan berhias, maka carilah peluang untuk menasihati mereka.

Akan tetapi jika semua keindahan itu dilakukan kerana menunjuk-nunjukkan kemewahan dan mencari kemasyhuran atau pujian orang , maka ia telah diberi amaran oleh Rasulullah: Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3511/4029]