Soalan: 

Ibu selalu berleter dan disebabkan sakit hati dengan ibu, saya pernah tidak bercakap dengannya lebih dari tiga hari. Saya tahu perbuatan saya ini berdosa tetapi saya beranggapan dengan cara ini boleh menyedarkan ibu supaya tidak lagi berleter. Adakah betul tindakan saya ini?

Julida, Klang.

 

Jawapan:

Tidak  betul. Memang, apabila berlaku perselisihan Islam memberi ruang tiga hari untuk orang yang berselisih untuk kembali berdamai. Rasulullah bersabda: Tidak halal bagi seorang mukmin mendiamkan saudara mukminnya lebih dari tiga hari. [Shahih Muslim, no: 4644/2561] Akan tetapi batas tiga hari ini merujuk kepada perhubungan sesama muslim.

Adapun terhadap ibubapa, maka hukumnya berbeza kerana ibubapa memiliki kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah. Tindakan mendiamkan ibu walaupun seminit sudah dianggap menderhaka kepadanya. Apatah lagi mendiamkan ibu selama tiga hari atau lebih, ia adalah kesalahan yang lebih besar.

Perhatikan ayat berikut: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]

Perhatikan bahawa sekadar berkata “Uff” sudah dilarang oleh Allah. Maka bagaimana pula dengan perkataan lain yang lebih dahsyat atau tidak berkata-kata langsung yang turut memberi kesan penderhakaan yang sama? Sudah tentu lebih dilarang. Perhatikan pula penghujung ayat di mana Allah memerintahkan berkata-kata dengan ibubapa dengan perkataan yang mulia.

Justeru jika ada tindakan ibu yang tidak disukai, tegurlah beliau dengan perkataan yang mulia lagi hormat. Ia lebih berkesan dalam membetulkan kesalahan ibu tanpa menderhakai beliau.