Soalan:

Saya teringin untuk memakai celak, namun saya tidak pasti celak yang mana sesuai dengan tuntutan Islam. Boleh ustaz bantu saya?

Kartina, Klang, Selangor.

 

Jawapan:

Sebelum memakai celak, eyeliner, eye shadow atau apa-apa yang seumpama, hendaklah diketahui bahawa ia adalah satu bentuk solekan sementara Islam melarang wanita bersolek. Ini kerana solekan boleh menarik perhatian kaum lelaki sehingga akhirnya membawa fitnah kepada orang yang bersolek dan lelaki yang memandangnya. Oleh kerana itulah Allah berfirman: Janganlah kamu menghiaskan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu. [al-Ahzab 33:33]

Dibolehkan bersolek untuk suami, namun ini hanya apabila berdua-duaan dengan suami sahaja. Jika pada waktu yang sama hadir ipar-duai dan orang-orang lain bersama suami, maka tetap tidak boleh bersolek. Contohnya jika keluar bersama suami ke sesuatu majlis, tetap tidak boleh bersolek kerana di sana hadir para lelaki yang akan memandang solekan tersebut.

Sayang sekali pada masa kini apa yang berlaku ialah sebaliknya. Para isteri jarang bersolek dan berhias apabila berdua-duaan dengan suami, tetapi lazim bersolek dan berhias apabila keluar rumah. Semoga budaya ini tidak berlaku di kalangan para pembaca yang bertaqwa sekalian.