Soalan:

Sebetulnya jari mana yang sesuai untuk dipakaikan cincin bagi kaum Hawa? Ini kerana ada yang mengatakan golongan wanita dibolehkan untuk memakainya pada mana-mana jari termasuk jari hantu. Hanya jari manis dibolehkan bagi kaum Adam, benarkah?

Solehan, Tanjung Malim, Perak.

 

Jawapan:

Cincin adalah perhiasan bagi kaum wanita dan mereka boleh memakainya pada mana-mana jari yang disukai. Cuma hendaklah diperhatikan agar cincin tersebut tidak menjadi sumber kebanggaan, tunjuk-menunjuk dan persaingan di kalangan kaum wanita serta tidak boleh menjadi perhiasan yang ditonjolkan kepada kaum lelaki.

Adapun bagi kaum lelaki, hendaklah terlebih dahulu disemak kenapa mereka memakai cincin? Jika mereka memakainya sebagai perhiasan maka ia dilarang kerana cincin adalah ciri perhiasan khusus kaum wanita. Hendaklah diketahui bahawa  Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. [Shahih al-Bukhari, no: 5436/5886]

Jika mereka memakainya sebagai cincin pertunangan dan cincin pernikahan, maka ia adalah budaya orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada menyerupai mereka. Rasulullah bersabda: Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka adalah dia daripada mereka. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3512/4031]

Mungkin ada di antara pembaca yang tertanya-tanya, bukankah Rasulullah juga memakai cincin? Ya, benar bahawa Rasulullah memakai cincin. Namun baginda tidak memakainya sebagai perhiasan diri atau cincin perkahwinan. Baginda memakainya sebagai cop mohor.

Di mata cincin Rasulullah, diukir “Muhammad Rasulullah”. Cincin ini baginda gunakan untuk menurunkan cop mohor ke atas surat-surat rasmi yang baginda utus kepada para pemimpin kaum lain. Ketika tidak digunakan sebagai cop mohor, baginda akan memusing mata cincin ke dalam, ertinya menghadap ke tapak tangannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5417/5866]

Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana ramai lelaki yang memakai cincin perhiasan, pertunangan dan perkahwinan dengan alasan ia tidak diperbuat dari emas. Padahal terdapat beberapa aspek hukum lain yang tidak mereka perhatikan.