Soalan:

Apakah dosa seorang anak yang menyakiti ibu belanya (ibu angkat) dan adakah doa itu dikabulkan Allah sama seperti doa ibu kandung?

Aishah Shamsuddin, Lahat Datu, Sabah.

 

Jawapan:

Rasulullah bersabda: Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.[Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1828/1905]

Walau bagaimana pun orang tua yang dimaksudkan dalam hadis di atas merujuk kepada ibubapa kandung. Demikian juga pelbagai ayat al-Qur’an dan hadis yang mengajar anak-anak berbuat baik kepada ibubapa dan hak istimewa ibubapa ke atas anak-anak, ia merujuk kepada ibubapa kandung.

Pun begitu, tidaklah bererti seorang anak boleh menyakiti ibu angkatnya. Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibubapa angkat sebagaimana dia berbuat baik kepada semua orang dan tidak menyakiti mereka. Seandainya pernah disakiti, maka segeralah meminta maaf dan berazam untuk tidak mengulanginya.