Saya tidak mempunyai wang simpanan sewaktu salah seorang daripada ahli keluarga saya meninggal dunia, lalu saya gadaikan barang-barang kemas saya untuk mendapatkan wang bagi mengebumikan jenazah itu. Apakah hukumnya?

Fatin Nadirah Arshad, Seremban, Negeri Sembilan.

 

Jawapan:

Kos urusan jenazah hendaklah diambil daripada harta orang yang meninggal dunia. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ke atas orang yang meninggal dunia: Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafankanlah dia dengan dua kainnya.[Shahih Muslim, no: 2092/1206] Bahkan ada seorang sahabat bernama Mush’ab bin Umair yang apabila gugur di perang Uhud, dia tidak memiliki apa-apa untuk dijadikan kain kafannya melainkan sehelai kain yang apabila ditutup kepalanya, ternampak kakinya. Apabila ditutup kakinya, ternampak kepalanya. Maka Rasulullah menyuruh agar menutup mulai dari lehernya ke bawah. [Shahih Muslim, no: 1562/940] Berdasarkan hadis ini dapat dipelajari bahawa kos menguruskan jenazah adalah daripada harta orang yang meninggal dunia, sekadar apa yang ada. 

Adapun selain itu, dibolehkan bagi orang lain membantu kos menguruskan jenazah, khususnya bagi jenazah yang tidak meninggalkan harta atau tidak diketahui memiliki harta walau sedikit. Oleh itu tindakan saudari sepertimana soalan di atas adalah dibolehkan. Bahkan ia adalah tindakan yang terpuji, moga diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah.