Soalan:

Apakah hakikat mati dalam Islam dan adakah mati itu datang dengan amaran terlebih dahulu?

Kamelia Ainaa Marzuki, Jelebu, Negeri Sembilan.

 

Jawapan:

Kematian pada hakikatnya ialah satu perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh. Ada juga yang berkata perpindahan dari alam dunia ke alam akhirat. Jika disemak dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, tidak ditemui keterangan tanda-tanda atau amaran sebelum kematian. Ini kerana hanya Allah yang telah mentaqdirkan ajal seseorang dan apabila masanya sudah sampai, arahan diberikan terus kepada Malaikat Maut. 

Perkara ini hendaklah difahami dengan betul kerana ia adalah urusan aqidah. Hendaklah waspada terhadap pelbagai khurafat masyarakat yang menyatakan sekian-sekian tanda atau amaran sebelum kematian. Suasana bertambah buruk apabila pihak wartawan pula suka bertanya kepada ahli-ahli keluarga orang yang baru meninggal dunia: “Ada apa-apa yang aneh sebelum arwah meninggal dunia?” Maka akan keluarlah segala macam sangkaan seperti tidak selera makan, tidur tak lena, tidak ceria atau suka menyendiri. Padahal sifat-sifat seperti itu adalah naik-turun kehidupan yang biasa dialami oleh semua orang.

Oleh itu kematian akan datang secara tiba-tiba, tanpa amaran. Maka hendaklah semua orang segera lagi berterusan mengerjakan amal soleh, menjauhi maksiat dan tidak menzalimi orang lain sebelum tiba-tiba diziarahi oleh Malaikat Maut.