Soalan:

Apakah maksud talkin dan mestikah talkin dilaksanakan terhadap jenazah?

Hartina Wahab, Sepang, Selangor.

 

Jawapan:

Talkin bermaksud mengajar atau membimbing seseorang tentang satu perkara. Sebagai contoh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Talqinkanlah orang kalian yang akan meninggal dunia La ilaha illalLah. [Shahih Muslim, no: 1524/916] Maksudnya ajarlah atau bimbinglah orang-orang yang sedang nazak dengan kalimah La ilaha illalLah.

Adapun talkin kepada jenazah selepas dikuburkan, ia bermaksud mengajar atau membimbing jenazah tersebut untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya oleh malaikat di dalam kubur. Amalan talkin seperti ini adalah tidak benar dari dua aspek. Pertama: Hadis yang menganjurkannya diperselisihkan darjatnya. Apa yang benar ialah ia tidak sahih sehingga tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara aqidah dan alam ghaib. 

Kedua: Setelah meninggal dunia dan memasuki alam barzakh, seseorang itu tidak boleh memilih-milih jawapan atau diajar jawapan yang akan diberikan kepada malaikat penyoal. Setelah meninggal dunia, setiap orang akan menjawab berdasarkan keyakinan dan amalannya ketika hidup di alam dunia dahulu.

Walau bagaimanapun, memandangkan talkin selepas urusan perkebumian adalah kebiasaan masyarakat kita, maka janganlah membantah jika ia dilakukan. Ini kerana urusan perkebumian ialah sesuatu yang sedih lagi menginsafkan, maka tidak sesuai untuk membantah pada saat itu. Sebaliknya jadikanlah ia sebagai satu perbincangan ilmiah di kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga ketika sihat. Moga dengan ilmu dan kesedaran yang lebih meluas, amalan talkin ini dengan sendirinya mula ditinggalkan tanpa paksaan atau bantahan.