Soalan:  

Saya merupakan seorang pelajar dan bakal menghadapi peperiksaan akhir. Masalahnya walaupun saya telah mengulangkaji, namun susah untuk masuk dalam minda terutama subjek menghafal. Ada kawan-kawan cadangkan minum air penerang hati. Apa pendapat ustaz?

Afieda, Semenyeh, Selangor.

 

Jawapan:

Hampir semua pelajar menghadapi cabaran yang sama, baik Muslim atau bukan Muslim. Persoalannya, kenapakah pelajar bukan Muslim dapat berjaya tanpa “air penerang hati” sementara pelajar Muslim memerlukan air tersebut atau pelbagai air jampi yang lain? Padahal sebagai seorang Muslim, kita ada Allah yang amat berkuasa untuk membantu dan menyelesaikan apa-apa cabaran yang dihadapi.

Oleh itu, perbaiki hubungan anda dengan Allah, kemudian berdoalah bersungguh-sungguh kepada-Nya. Allah berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [al-Mu’minun 40:60]

Seterusnya tutup rangkaian sosial (Facebook, Twitter), tutup TV, simpan talifon bimbit, lupakan buat sementara waktu rakan-rakan yang tidak membantu pembelajaran anda dan bergaullah dengan dua atau tiga rakan yang benar-benar sedang berusaha untuk berjaya.