Soalan:

Saya pernah bercinta selama 5 tahun dengan seorang lelaki, tetapi perhubungan kami dihalang keluarga saya. Takdir tuhan, kekasih saya meninggal dunia akibat kemalangan. Hingga kini, saya masih mengingatinya dan selalu berdoa kepada Allah supaya jodoh kami tetap ada walaupun di akhirat kelak. Salahkah jika saya berdoa begitu dan apakah permohonan doa saya diterima Allah?

Rashidah, Terengganu.

 

Jawapan:

Sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan kepada Allah jualah kita kembali. Apabila Allah telah mengambil nyawa sahabat tersebut, maka bersabarlah, redalah dan teruskan kehidupan yang baru. Sering mengingatinya tidak akan membawanya kembali ke dunia ini.

Berkenaan doa, apa yang lebih utama ialah mendoakan agar Allah mengampuni serta merahmati sahabat tersebut. Kemudiannya turut berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada anda untuk meneruskan kehidupan yang baru.

Meskipun berat, ingin saya nasihatkan apabila anda memulakan kehidupan yang baru bersama calon suami yang baru, ingatlah bahawa tidak disyorkan untuk bercinta sebelum bernikah. Memadai sekadar berkenalan (ta’aruf) bagi mengetahui sesuai atau tidak untuk hidup bersama sebagai suami dan isteri.