Soalan:

Apa hukum membeli emas secara ansuran? Saya pernah dengar orang kata hukumnya haram. Arwah ibu saya pernah membeli gelang emas dan bayar secara ansuran. Maksudnya dia bayar dua kali. Seandainya benar hukumnya haram saya berdoa agar Allah ampunkan segala kekhilafan yang pernah ibu saya lakukan.

 

Jawapan:

al-Bara’ bin ‘Azib menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang jual-beli emas dengan perak secara berhutang. [Shahih al-Bukhari, no: 2033/2180] Dalam hadis lain, Abu Bakrah menerangkan bahawa baginda memerintahkan kami untuk membeli perak dengan emas sekehendak kami, dan membeli emas dengan perak sekehendak kami. Seorang lelaki bertanya kepadanya: “Apakah tangan dengan tangan (serah terima secara terus)?” Dia menjawab: “Seperti itulah saya mendengarnya (daripada Rasulullah).” [Shahih Muslim, no: 2977/1590]

Berdasarkan hadis-hadis ini, para ulama’ melarang jual beli emas secara hutang atau ansuran. Ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis secara serentak. Ada sebahagian kecil ulama’ yang berpendapat larangan yang dimaksudkan hanya untuk emas dan perak dalam bentuknya yang asal atau ketulan jongkong. Mereka berpendapat jika emas dan perak telah diubah dari bentuk asalnya kepada rantai, cincin dan gelang, dibolehkan jual beli secara hutang atau ansuran. Namun kebanyakan ulama’ berpendapat ia tetap dilarang kerana apa jua bentuknya, ia tetap emas dan perak.

Adapun arwah ibu yang pernah membelinya secara ansuran, kemungkinan besar beliau tidak mengetahui hukumnya kerana perkara ini bukanlah sesuatu yang tersebar luar di sisi masyarakat. Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihi tidak akan mengazab orang yang secara tidak sengaja, tidak mengetahui hukum sesuatu perkara.