Soalan:

Saya pernah bersumpah ketika berada di bawah pengaruh dadah. Soalannya, adakah sumpah itu sah?

 

Jawapan:

Pertama sekali saya berdoa agar keadaan “berada di bawah pengaruh dadah” adalah yang pertama dan terakhir. Jika bukan, harap saudari segera menjauhinya dan meminta pertolongan kaunseling daripada mereka yang arif lagi berpengalaman.

Adapun bersumpah ketika berada di bawah pengaruh dadah, maka ia tidak sah. Orang yang berada di bawah pengaruh dadah tidak sedar diri sepenuhnya dan dia termasuk dalam kategori orang yang tidak bermaksud atau tidak berniat untuk bersumpah. Tentang keadaan ini Allah berfirman:

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. [al-Baqarah 2:225]

Sebagai penjelasan tambahan, cuba untuk tidak membiasakan diri bersumpah kerana dibimbangi satu hari kelak akan “termakan sumpah”. Ini kerana sumpah memiliki kesan yang besar dalam agama. Jika seseorang itu bersumpah lalu dia melanggarnya, maka hukumannya adalah seperti mana dalam ayat berikut:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya (bagi orang yang melanggar sumpah atau tidak dapat menunaikan sumpah) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:89]