Soalan: 

Apakah hukumnya mengambil ubat penahan haid?

Ain Natasha Baharin, Kuala Langat.

 

Jawapan: Setahu saya tidak ada dalil tegas yang melarang pengambilan ubat penahan haid. Akan tetapi adalah lebih utama untuk tidak mengambilnya kerana Allah telah mencipta manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan dalam ciptaan itu, Allah telah menjadikan pusingan haid bagi seorang wanita dewasa. Ertinya, kedatangan haid dan bersih daripada haid merupakan sebahagian daripada hikmah dan kebaikan ciptaan Allah.

Dibolehkan mengambil ubat penahan haid jika ada sebab-sebab yang penting, seperti ingin tawaf di Mekah sementara penerbangan pulang ke tanah air dijadualkan sebelum diri sendiri suci daripada haid. Akan tetapi adalah lebih utama jika jauh sebelum itu, jadual penerbangan pergi dan balik disusun supaya dapat berada di Mekah ketika dalam keadaan suci. Ini kerana bagi kebanyakan wanita, pusingan haidnya adalah tetap dan dapat dibuat kiraan tempoh haid dan tempoh sucinya.