Soalan:

Adakah kita boleh mempercayai kebolehan atau kelebihan seseorang itu kononnya dia mampu mencari orang atau barang hilang. Jika kita percaya, adakah ia termasuk sebagai syirik?

Siti Hajar, Arau, Perlis.

Jawapan:

Mampu mencari orang atau barang yang hilang bererti mampu mengetahui ilmu ghaib. Dalam hal ini hanya Allah yang mengetahui ilmu ghaib sebagaimana firman-Nya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata. [al-An’aam 6:59]

Oleh itu apabila seseorang itu mendakwa mengetahui ilmu ghaib, dia telah mensyirikkan Allah kerana menganggap memiliki ilmu seperti Allah. Apabila ada orang yang menyakini seseorang itu mengetahui ilmu ghaib, dia juga mensyirikkan Allah kerana menganggap orang tersebut memiliki ilmu seperti Allah. Justeru jauhilah semua orang yang mendakwa boleh mencari barang atau individu yang hilang. Jangan mendekati mereka kecuali untuk menasihati mereka agar meninggalkan kerjaya syirik ini.