Soalan:
Saya ada adik perempuan umur 14 tahun. Disebabkan ibu dan ayah sibuk bekerja, kami kurang diberi perhatian. Ini menyebabkan adik perempuan saya banyak mencari hiburan di luar. Sebagai kakak, sudah banyak nasihat saya beri, namun sia-sia saja. Apakah cara terbaik untuk saya tegur dia dan adakah ada jalan penyelesaian yang lain?
Suhana, Pulau Pinang.
Jawapan:
Orang yang patut ditegur bukan sahaja adik tetapi kedua-dua ibubapa. Meskipun Islam menekankan agar anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, ia tidak bererti anak-anak tidak boleh menegur atau menasihati ibubapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka secara baik kepada anak-anak.
Allah Subhanahu waTa’ala berfirman: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran [al-Asr 103:1-3]
Termasuk dalam tuntutan berpesan-pesan kepada kebenaran ialah seorang anak yang memberi nasihat dan teguran kepada ibubapa yang leka dengan kerjaya masing-masing sehingga terlupa atau melalaikan kerjaya mereka terhadap anak-anak. Ibubapa mungkin terpaksa bekerja kuat dalam suasana ekonomi yang amat mencabar sekarang ini, akan tetapi ia tidak boleh sehingga ke tahap mengorbankan pendidikan dan pemantuan ke atas anak-anak.