Soalan:

Saya ada masalah pelupa. Bukan setakat mudah lupa letak barang di mana, malah jika berhutang dengan kawan-kawan, saya jadi lupa hendak bayar balik. Ini menyebabkan kawan-kawan menyisihkan saya. Apa yang perlu saya buat ustaz sedangkan saya bukan sengaja tak nak bayar, cuma terlupa.

Haslinda, Pahang.

Jawapan:

Jika orang muda yang sering terlupa, maka kemungkinan besar ia disebabkan oleh fikiran yang lalai atau banyak berangan-angan kosong. Cara terbaik ialah anda menyepak muka anda kanan dan kiri sehingga terasa sakit, kemudian bangun dari alam khayalan kepada alam realiti.

Buat azam dan janji kepada diri sendiri: “Saya Haslinda adalah orang yang cemerlang. Allah telah memberikan saya akal fikiran yang terbaik dan saya akan manfaatkannya dengan cara yang terbaik. Saya tidak akan lagi menerima alasan “terlupa”, bahkan perkataan “terlupa” sudah tidak ada lagi dalam kamus hidup saya”.

Kemudian mulakan kehidupan baru berdasarkan azam ini. Berdisiplinlah dalam setiap perkara yang anda lakukan sehingga semuanya teratur dan sebagaimana yang sepatutnya, bukan rambang dan sesuka hati. Gunakan apa-apa alat atau sistem untuk membantu ingatan, seperti menyimpan nota catatan, menampal peringatan besar dan berwarna-warni di dinding atau mengulang-ulang di dalam minda sesuatu perkara yang penting.

Merujuk kepada hutang, ia adalah satu sikap yang buruk. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk berhutang, melainkan dalam keadaan terdesak. Oleh itu hentikan kebiasaan suka berhutang, cukupkan diri dengan apa yang ada.