Soalan:

Sebagai remaja saya gemar mendengar muzik, membaca majalah hiburan dan menonton program hiburan. Soalan saya, apakah hukum mendengar muzik dalam Islam? Jika dibolehkan, adakah syarat-syarat tertentu yang mesti kita patuhi?

Ariani Adnan, Pasir Gudang, Johor.

 

Jawapan:

Jumhur (majoriti) ilmuan Islam mengharamkan muzik dan semua yang berkaitan dengannya. Ini kerana muzik merupakan pintu yang membuka kepada pelbagai perbuatan mungkar. Sebagai contoh, orang yang mendengar muzik akan leka daripada berzikir kepada Allah, membaca al-Qur’an dan mendalami ilmu-ilmu agama (kecuali kerana peperiksaan).

Mendengar muzik menyebabkan pemujaan kepada penyanyinya. Pendengar wanita akan memuja penyanyi lelaki, sama ada kerana suaranya, ketampanannya, atau kedua-dua sekali. Pendengar lelaki akan memuja penyanyi wanita, sama ada kerana suaranya, kecantikannya, atau kedua-dua sekali. Bukti pemujaan ini ialah poster-poster yang bertampalan di bilik tidur, gambar-gambar yang disimpan dalam talifon dan khalayan sebelum tidur.

Pada masa kini, muzik juga diiringi dengan videonya (music video) yang mempamirkan pelbagai aksi lucah dan memberahikan. Muzik juga diikuti dengan acara konsert sehingga melibatkan percampuran bebas, sentuh-menyentuh dan raba-meraba antara lelaki dan wanita yang menghadirinya.

Selain itu ada dua perkara penting yang memerlukan perhatian para pembaca sekalian. Pertama, pada zaman Rasulullah muzik secara ringkas dibenarkan dalam acara perkahwinan. Akan tetapi ia sekadar pukulan rebana dan mengambil masa yang singkat. Hukumnya tidak sama dengan muzik yang dimainkan secara kuat lagi berpanjangan dalam majlis-majlis perkahwinan masa kini.

Kedua, apabila para ilmuan Islam mengharamkan muzik, ia meliputi semua jenis muzik. Pada masa kini terdapat nasyid dan konsert selawat. Ia tetap muzik dan ia tetap merupakan pintu kepada pelbagai perkara mungkar yang lain seperti leka daripada zikir kepada Allah, membaca al-Quran, menelaah hadis-hadis Rasulullah, pemujaan artis dan percampuran bebas antara lelaki dan wanita ketika konsert. Oleh itu berhati-hatilah.

Jika muzik dan semua yang berkaitan dengannya merupakan minat anda sebagai remaja, berusahalah untuk menjauhinya secara bertahap-tahap. Mohonlah kekuatan dan bimbingan daripada Allah, nescaya anda akan berjaya.