Soalan:

Apakah hukum memulaukan majlis solat jenazah keluarga atau jiran yang tidak pernah mengunjungi masjid di kampungnya?

Fatma, Negeri Sembilan.

 

Jawapan:

Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mengikuti jenazah muslim kerana iman dan mengharapkan balasan (daripada Allah), dan dia selalu bersama jenazah tersebut sampai disolatkan dan selesai dikebumikan, maka dia pulang dengan membawa (pahala) dua qirath, setiap qirath setara dengan gunung Uhud. Dan sesiapa menyolatkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qirath. [Shahih al-Bukhari, no: 45/47]

Dalam hadis ini, Rasulullah tidak membezakan jenazah yang biasa ke masjid atau tidak, jenazah yang soleh atau tidak, atau apa-apa kriteria lain. Orang yang menyolati jenazahnya akan tetap diberi ganjaran oleh Allah.

Satu perkara yang saya bimbang, segelintir orang yang biasa ke masjid memiliki perasaan ujub dalam diri sendiri sehingga memandang rendah kepada orang yang tidak biasa ke masjid. Apabila orang itu meninggal dunia, mereka bertanya: “Siapa dia itu, tak pernah nampak di masjidpun?” Semoga Allah memelihara kita daripada merosakkan amal soleh ke masjid dengan perasaan ujub sebegini.