Soalan:

Bolehkah diterangkan apakah itu Mandi Wiladah dan bagaimana hukumnya?

Adlina, Selangor.

 

Jawapan:

Mandi Wiladah ertinya mandi wajib selepas melahirkan anak. Sebahagian para ilmuan dari kalangan Mazhab al-Syafi’e berpendapat wanita yang melahirkan anak tanpa darah nifas, maka wajib ke atasnya Mandi Wiladah. Sebaliknya jika wanita melahirkan anak diikuti dengan darah nifas, maka wajib ke atasnya mandi selepas suci dari darah nifas.

Namun sebahagian ilmuan lain menyatakan bahawa mandi wajib ialah satu ibadah dan sesuatu ibadah hendaklah dilaksanakan berdasarkan dalil-dalil agama. Mandi kerana junub, suci dari haid, suci dari nifas dan sebagainya memiliki dalil-dalil agama yang mewajibkannya. Manakala mandi kerana melahirkan anak tanpa pendarahan tidak memiliki dalil maka ia tidak wajib mahupun sunat untuk dilaksanakan. [Syaikh Abdul Karim Zaidan – Ensaiklopedia Fiqh Wanita, jld. 1, ms. 156] Saya mencenderungi pendapat kedua ini, bahawa tidak ada Mandi Wiladah bagi wanita yang melahirkan anak tanpa pendarahan.

Para pembaca Dara.com yang sudah berkahwin, hamil dan memiliki anak dijemput membaca majalah Pa&Ma terbitan Karangkraf. Dalam majalah ini saya memiliki kolum soal-jawab agama yang menyentuh isu-isu perkahwinan, kehamilan dan anak-anak dari sudut agama.