Soalan:

Saya seorang yang cepat naik marah dan saya sedari penyakit panas baran ini bermula sejak saya putus tunang. Apa yang perlu saya buat, mohon nasihat ustaz.

Elina, Kedah.

 

Jawapan: Nampaknya sikap ini bermula kerana kekecewaan, kesedihan dan rasa telah dipermainkan sejak putus tunang. Dalam hal ini, perhatikan hadis berikut: Cintailah orang yang kamu cintai seadanya kerana boleh jadi pada satu hari kelak kamu akan membencinya. Bencilah orang yang kamu benci seadanya kerana boleh jadi pada satu hari kelak kamu akan mencintainya. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1920/1997]

Berdasarkan hadis ini, hendaklah kita mengawal perasaan suka dan cinta kepada seseorang, baik kawan, tunang mahupun suami. Ini kerana boleh jadi pada satu hari nanti, Allah menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai pada orang tersebut dan ujian itu akan menyebabkan kita gagal dengan dahsyat. Sebaliknya jika kita sekadar bersederhana dalam mencintai atau membenci seseorang, maka apa-apa ujian akan kita lalui dengan berjaya.

Apa yang lebih penting, hendaklah hati ini tulus dalam mencintai Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita, mahupun menyedihkan atau mempermainkan. Sekali-sekala Allah akan menguji kita dan itu tidak lain adalah kerana cinta-Nya kepada kita.