Soalan:

Apakah doa-doa yang sesuai dibaca selepas solat? Mohon ustaz kongsikan.

Fathiat Arsyad, Pasir Putih, Kelantan.

 

Jawapan:

Dianjurkan berdoa apa saja yang dihajati selepas solat, baik solat fardhu atau solat sunat. Doa yang terbaik ialah apa yang terkandung di dalam al-Qur’an dan diajar serta diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Di pasaran terdapat beberapa buku yang menerangkan doa-doa daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Pilihlah buku yang setiap doanya diberikan rujukan.

Di antara doa yang terbaik ialah memohon agar Allah sentiasa memberi kita hidayah, memelihara kita daripada kesesatan dan memberikan rahmat-Nya kepada kita. Allah telah mengajar doa tersebut, yang bermaksud:  “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).” [Ali Imran 3:08] Inilah doa terbaik yang merangkumi semua kebaikan, dunia dan akhirat.