Soalan:

Saya empat beradik, saya anak yang kedua. Sejak kecil ibu selalu membandingkan saya dengan adik-beradik yang lain termasuk dari segi pelajaran, warna kulit, mahupun perangai. Kadang-kadang ia membuatkan saya rasa terpinggir kerana ibu pilih kasih. Saya rasa tertekan dan pernah terfikir untuk lari dari rumah. Ustaz, apa yang patut saya lakukan?

Intan Mastura, Negeri Sembilan.

Jawapan:

Semua ibu ialah manusia dan tidak ada manusia yang sempurna. Justeru boleh dijangkakan ibu kadangkala bersikap tidak adil dalam memberikan kasih sayang, perhatian dan pujian di antara anak-anaknya. Apa yang patut dilakukan sebagai seorang anak ialah tetap menyayangi ibu, berbuat baik kepadanya dan bersabar di atas kekurangannya. Jika semua perbuatan ini (sayang, buat baik dan sabar) tidak diambil peduli oleh ibu, ketahuilah Allah tetap mengambil peduli dan akan memberikan ganjaran pahala yang sebaiknya.

Siapa tahu pada satu masa kelak, ibu akan menyedari kesalahannya dan akan kembali menyayangi dan memberi perhatian istimewa kepada anda. Betapa banyak ibubapa yang memilih kasih anak, namun anak yang dikasihi itulah yang mengabaikannya ketika sudah tua. Sementara anak yang diabaikan sejak kecil, anak itu jualah yang akhirnya menjaga mereka di hari tua.