Soalan:

Saya ingin bertanya tentang penggunaan contact lens (kanta lekap) semasa solat dan puasa, adakah sah ibadatnya? Juga, adakah dibolehkan seseorang itu menggunakan contact lens sekadar suka-suka?

Aida Aziz, Temerloh, Pahang.

 

Jawapan:

Boleh memakai kanta lekap ketika solat dan puasa. Air tidak disyaratkan menyentuh mata apabila mengambil wudhu’, bererti wudhu’ untuk solat dengan memakai kanta lekap adalah tetap sah. Adapun memasukkan kanta lekap ke dalam mata, ia bukanlah makanan dan minuman yang membatalkan puasa. Pendapat yang menyatakan “batal puasa apabila memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan” bukanlah sesuatu yang memiliki dasar dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Adapun memakai kanta lekap secara suka-suka, yang benar ia dipakai untuk tujuan hiasan bagi mengindahkan mata, mengubah saiz anak mata atau mengubah warna anak mata. Jika hiasan seperti ini dilakukan untuk suami, maka ia dibolehkan. Namun jika dilakukan untuk berhias di hadapan khalayak ramai, maka ia termasuk tabarruj yang dilarang oleh Islam.