Soalan:

Saya ingin tahu dengan lebih lanjut berkaitan dengan perletakan kaki semasa tahiyyat akhir. Bagaimana jika buku lali kaki pernah tercedera dan tidak boleh ditegakkan?

Salbiah Taha, Tangkak, Johor.

 

Jawapan:

Perletakan kaki adalah seperti yang diterangkan oleh sahabat yang melihat Rasulullah solat:

Apabila duduk pada rakaat kedua, baginda duduk di atas kakinya yang kiri dan menegakkan kakinya yang kanan. Dan jika duduk pada rakaat terakhir, maka baginda memasukkan kaki kirinya (di bawah kaki kananya) dan menegakkan kaki kanannya dan baginda duduk pada tempat duduknya. [Shahih al-Bukhari, no: 785/828]

Akan tetapi jika seseorang itu tidak mampu duduk dengan perletakan kaki seperti Rasulullah kerana cedera, saiz badan yang besar atau ruang sempit ketika solat jamaah, maka dia boleh duduk dengan apa-apa cara perletakan kaki yang termampu olehnya. Ini berdasarkan sabda baginda: ...apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288] Solatnya tetap sah dan tidak perlu diulangi.