Suraya mengimpikan, ketika sudah berkahwin kelak suaminya akan membukakan pintu kereta setiap kali dia akan keluar dan masuk. Namun setelah berkahwin, Suraya menaiki bas sementara Akil – suaminya menaiki komuter ke pejabat masing-masing. Meski pun sudah tiga tahun berkahwin, situasi kewangan masih belum mengizinkan mereka membeli sebuah kereta.

Sebelum bernikah, Azura terbayang-bayang ketika hujan suami akan datang menyambutnya dengan payung. “Biarlah abang basah kuyup, asalkan sayang terjaga dari hujan” demikian bisikan suami kepada Azura. Kini sudah empat tahun berlaku, siang atau malam, hujan atau panas, Azura keseorangan di Shah Alam, Selangor sementara suaminya – Taufik – keseorangan di Miri, Sarawak. Azura dan Taufik belajar di universiti yang sama. Mereka berkenalan sejak tahun pertama dan merancang untuk berkahwin selepas tamat pengajian. Sebulan selepas tamat pengajian, mereka berkahwin. Namun tak sampai sebulan selepas itu, mereka sudah berpisah kerana lokasi kerja masing-masing. Sejak itu mereka hanya berjumpa purata dua-tiga hari dalam sebulan.

masammuka.jpg 

 

Azmil selalu berharap agar Allah menganugerahkannya seorang isteri yang solehah. Seorang isteri yang apabila dia pulang dari pejabat, akan membuka pintu rumah dan menyambutnya dengan senyuman manis: “Jemputlah masuk abang, sayang dah buatkan jus oren kesukaan abang”. Seorang isteri yang akan memasak masakan-masakan yang enak lagi lazat. Akan tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya. Emilia, isteri Azmil hampir tidak pernah membuka pintu rumah untuknya, jauh sekali untuk menghadiahkan sebuah senyuman. Masakan enak lagi lazat? Menu harian hanya mee segera. Semalam mee segera perasan kari. Malam ini perasa asam laksa. Malam esok perasa ayam dan cendawan.

Kamilia dan Saiful berkenalan melalui internet. Setelah berkenalan lebih lanjut dan mendapat restu ibubapa, mereka melangsungkan akad nikah di masjid. Kenduri di pihak lelaki dan wanita berlangsung serba sederhana tetapi meriah. Ketika dalam proses pengenalan, Saiful tidak pernah menyentuh Kamilia. Kamilia tidak mengesyaki apa-apa mahu pun mengingininya, kerana di dalam Islam adalah haram untuk lelaki dan wanita bersentuhan sebelum bernikah. Pun begitu, selepas bernikah Saiful masih tetap tidak mahu menyentuh Kamilia. Meski pun Kamilia cuba menghampirinya, Saiful bertindak menjauhkan diri. Perkara ini sudah berlanjutan hampir setahun sehingga Kamilia mula terfikir untuk menuntut cerai.

 

Tidak Seindah Yang Diidamkan

Di atas adalah beberapa coretan sebahagian kecil cabaran kehidupan rumahtangga yang dihadapi oleh pasangan suami isteri. Ya, di atas hanya sebahagian kecil. Semua suami isteri akan menghadapi satu atau lebih cabaran. Sebahagiannya umpama di atas, sebahagiannya lebih berat daripada di atas.

Perkahwinan yang diidam-idamkan sebagai satu keindahan, kemesraan, kesayangan dan kebahagiaan sebenarnya juga mengandungi kesedihan, kesunyian, kemarahan dan kesusahan. Bahkan kerap kali – khasnya pada tahun-tahun awal perkahwinan, kesedihan, kesunyian, kemarahan dan kesusahan mendominasi perkahwinan berbanding keindahan, kemesraan, kesayangan dan kebahagiaan.

Di sini saya bukan bertujuan menakut-nakutkan pasangan yang akan berkahwin atau menghampakan pasangan yang sudah berkahwin. Saya tidak mahu menjadi umpama penulis buku-buku perkahwinan yang hanya menceritakan sisi-sisi indah perkahwinan. Tujuan saya ialah memberi amaran dan kesedaran bahawa alam perkahwinan mengandungi unsur-unsur positif dan negatif. Kebanyakan pasangan hanya mengidam-idamkan unsur positif seperti keindahan, kemesraan, kesayangan dan kebahagiaan, lalu mereka menjadi putus asa dan kebingungan apabila yang ditemui ialah unsur-unsur negatif seperti kesedihan, kesunyian, kemarahan dan kesusahan. Bahkan lebih bingung dan kesal apabila unsur negatif lebih menonjol berbanding unsur positif.

Oleh itu berdasarkan sedikit coretan di atas, saya ingin menekankan bahawa perkahwinan ialah sebuah perjuangan. Masing-masing suami dan isteri mesti berjuang untuk menjayakan perkahwinan mereka. Suami isteri umpama satu pasukan yang sama-sama berjuang demi kejayaan pasukan mereka. Sebuah pasukan tidak akan berjaya jika ahli-ahlinya enggan berjuang. Sebuah pasukan tidak akan berjaya jika hanya sebahagian ahli yang berjuang. Sebuah pasukan hanya akan berjaya jika setiap ahlinya berjuang.

 

Perjuangan Apa?

Merujuk kembali kepada coretan-coretan di atas, antara perjuangan yang utama ialah bersabar. Suami dan isteri hendaklah banyak bersabar kerana kesenangan hidup tidak datang secara tiba-tiba, ia datang secara bertahap-tahap. Dengan kesabaran ini, pasti satu hari kelak Allah akan melapangkan rezeki kepada Akil dan Suraya sehingga mereka dapat membeli kereta sendiri. 

Sinonim bagi perkahwinan ialah pengorbanan. Pengorbanan pula ialah satu bentuk perjuangan. Suami dan isteri mesti banyak berkorban demi menjayakan rumahtangga masing-masing. Dalam kes Azura dan Taufik misalnya, Azura hendaklah berkorban dengan meninggalkan kerjayanya agar dapat bersama Taufik di Miri, Sarawak. Ini kerana kewajipan bekerja dan menyediakan nafkah keluarga terletak di bahu suami, sementara kewajipan bagi seorang isteri ialah berada di sisi suaminya. 

Ada pun bagi Azmil, beliau hanya berharap tanpa berjuang. Beliau berharap isterinya memiliki ciri solehah, namun beliau tidak berjuang untuk menasihati dan mendidik isterinya ke arah kesolehan. Azmil tidak pernah menyampaikan kepada Emilia etika menyambut suami ketika pulang dan tidak pernah memberi motivasi kepada Emilia untuk memasak. Azmil hanya berharap sementara Emilia tidak tahu apa yang Azmil harapkan dari dirinya. Di sini berlaku masalah komunikasi sementara komunikasi antara suami dan isteri sebenarnya adalah satu lagi bentuk perjuangan.

Perjuangan tidak semestinya bererti seseorang itu perlu menjadi wira atau jaguh. Perjuangan juga bererti mengaku kelemahan diri sendiri dan berani mencari solusinya. Bagi pasangan Saiful dan Kamilia umpamanya, mereka hendaklah berjuang mengakui kekurangan diri masing-masing dan berani mencari solusi dengan berjumpa pakar runding hubungan seks.

Bagi Akil dan Suraya, Taufik dan Azura, Azmil dan Emilia, Saiful dan Kamilia serta semua pasangan suami isteri, kesenangan tidak datang secara tiba-tiba. Namun ia datang setelah kesusahan. Oleh kerana itulah Allah berfirman, dan Allah mengulanginya sebanyak dua kali: Maka sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kesenangan, sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kesenangan. [al-Inshirah 94:5-6]