Hisham dan Afifah tidak sabar-sabar menunggu tarikh 30 November kerana pada hari itulah – insyaAllah – mereka akan bernikah. Dengan hanya beberapa hari saja tinggal, ahli-ahli keluarga bagi kedua-dua pihak pengantin lelaki dan perempuan sudah sibuk dengan pelbagai persiapan. Sanak saudara dari jauh sudah mula sampai, ada yang rajin membantu, ada yang rajin bersembang dan ada yang rajin menyoal siasat bagi mengenali lebih rapat calon pasangan masing-masing.

Dalam kesibukan itu, tiba-tiba Afifah di datangi oleh Mak Langnya yang datang dari jauh. Setelah bersalaman dan berpelukan, Mak Lang mengeluarkan dari tas tangannya seutas gelang emas yang berkilat-kilat. “Nah! Ini Mak Lang hadiahkan kepada Afifah sebagai hadiah perkahwinan.”

tangkal_emas.jpeg 

“Wah! Cantiknya. Fifah suka sangat!” sambut Afifah penuh keriangan.

“Pastikan Afifah pakai selalu. Ia akan melindungi Afifah” jelas Mak Lang.

“Melindungi dari apa Mak Lang?” tanya Afifah kehairanan.

“Yalah, lelaki sekarang. Macam-macam sebenarnya meskipun mereka itu suami kita. Jadi gelang ini akan melindungi Afifah seandainya suami….err…bersikap kasar. Faham faham sajalah.” 

“Ehh! Ini tangkal ke Mak Lang?”

“Bukan, itu gelang emas. Hanya Mak Lang mintakan ustaz di kampung jampikan kalimah-kalimah pelindung di atasnya. Istimewa untuk Afifah” jelas Mak Lang sambil membelai-belai rambut Afifah.

Afifah menjadi serba salah, lagi ragu-ragu. Hendak dipakai, ia mirip kepada tangkal yang diperbuat daripada gelang emas. Hendak ditolak, ia adalah pemberian khas daripada Mak Lang. Akhirnya Afifah hanya mengangguk-angguk sambil menundukkan kepalanya. 

 

Hukum Memakai Tangkal

Sebagaimana Afifah, saya yakin para pembaca juga akan tertanya-tanya apakah hukum memakai tangkal. Lebih-lebih lagi apabila tangkal itu dalam bentuk yang indah seperti seutas gelang atau rantai emas.

Sebenarnya tangkal ialah apajua benda yang dibacakan jampi-jampian ke atasnya, dipakai kerana mengharapkan sesuatu kesaktian seperti perlindungan daripada ancaman orang lain, perlindungan daripada gangguan makhluk halus, pembawa nasib baik (good luck charm), pencegahan penyakit dan rawatan penyakit. Tangkal boleh wujud dalam bentuk benang yang halus, gelang tangan, rantai, loket dan macam-macam lagi. Ia boleh diperbuat daripada benda biasa seperti benang dan kayu, boleh juga daripada benda-benda mewah seperti emas dan berlian. Bezakan bahawa perempuan boleh memakai emas dan berlian sebagai perhiasan, namun jika emas dan berlian itu dipakai sebagai tangkal, maka hukumnya sudah berubah.

Semua jenis tangkal, apajua bentuk dan bahannya, adalah haram di sisi Islam. Orang yang memakainya melakukan syirik kepada Allah kerana mengharapkan perlindungan, pencegahan dan rawatan daripada selain Allah atau bersama-sama dengan Allah. 

Dalam sebuah hadis, diterangkan bahawa sepuluh orang pernah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk berbai‘ah kepada baginda (memeluk Islam). Baginda menerima bai’ah mereka kecuali seorang. Lalu ditanya kepada Rasulullah, kenapa tidak diterima bai’ah orang tersebut. Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya padanya terdapat tangkal.” Kemudian orang tersebut memasukkan tangannya (ke dalam baju) dan membuangnya. Maka Rasulullah menerima bai‘ahnya seraya bersabda: “Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik.” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan]

Perhatikan ketegasan Rasulullah kepada orang yang baru hendak masuk Islam. Baginda enggan menerima keislamannya kerana dia memakai tangkal. Islam ialah agama tauhid sementara tangkal ialah amalan syirik yang membatalkan tauhid tersebut. 

 

Tidak Ada Manfaat Pada Tangkal

Sebagai orang Islam yang mentauhidkan Allah, kita meyakini bahawa tidak ada manfaat yang diperolehi atau mudarat yang akan menimpa melainkan semuanya dengan izin, kehendak dan perancangan Allah. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman:

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-An‘aam 6:17-18]

Apabila seseorang itu memakai tangkal, dia sebenarnya mengharapkan manfaat atau menjauhi mudarat melalui tangkal tersebut. Ini adalah keyakinan yang syirik kepada Allah. Bahkan kerana tangkal itu, Allah tidak akan menjadikan hajatnya tercapai. Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput (sejenis tangkal juga) maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut). [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan]

Oleh itu orang yang memakai tangkal bukan sahaja melakukan syirik kepada Allah tetapi juga tidak akan mencapai apa yang diharap-harapkan melalui pemakaian tangkal tersebut.

 

Tangkal Yang Dijampi Dengan al-Qur’an

Di sini timbul persoalan, bolehkah menggunakan tangkap yang dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah? Jika kita menyemak semula hadis di atas, akan didapati Rasulullah melarang penggunaan tangkal tanpa bertanya terlebih dahulu dengan apakah tangkal itu dijampi? Asalkan melihat tangkal, baginda dengan segera memerintahkan ia dibuang.

Ini kerana terdapat perbezaan di antara tangkal dan jampi-jampian al-Qur’an dan doa-doa Rasulullah. Jampi-jampian adalah memohon terus kepada Allah manakala tangkal berperanan sebagai “jalan tengah” antara seorang hamba dengan Allah. Seandainya seorang pengguna tangkal mendakwa bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah dan bukannya tangkal, maka bukankah pertolongan Allah itu dapat diperolehi secara terus, tanpa melalui “jalan tengah”?

Selain itu, seorang yang menggunakan tangkal dengan dakwaan bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah, lambat-laun akan terperangkap juga dengan “pengaruh” daripada tangkal tersebut. Iaitu apabila dia sudah biasa menggunakan tangkal lalu pada satu hari dia terlupa memakainya, maka hatinya akan menjadi gusar lagi resah, tidak lagi yakin untuk menempuh harinya itu melainkan dengan penuh ketakutan, kebimbangan dan was-was. Berbagai-bagai imaginasi buruk sentiasa tergambar di dalam fikirannya, diikuti dengan berbagai-bagai bisikan negatif dalam sanubari. Inilah yang dimaksudkan dengan: “lambat-laun akan terperangkap juga dengan ‘pengaruh’ daripada tangkal tersebut”. Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) pernah ditanya tentang penggunaan tangkal, beliau menjawab: “Sesiapa yang menggunakan tangkal (lambat laun) akan bergantung kepadanya.”

 

Bersikap Tegas Dalam Urusan Aqidah

Jika kita menyemak semula hadis Abdullah ibn Mas’ud dalam edisi yang lepas, juga hadis di atas tentang sepuluh orang yang datang berbai’ah kepada Rasulullah, akan didapati satu kesamaan. Iaitu terdapat ketegasan dalam perkara yang melibatkan aqidah, antara tauhid dan syirik. Abdullah ibn Mas’ud dengan tegas mencabut dan membuang tangkal benang yang dipakai oleh isterinya. Rasulullah juga dengan tegas enggan menerima bai’ah sehinggalah orang itu membuang tangkalnya.

Oleh itu apabila kita berhadapan dengan tangkal, seperti mana kes Afifah, hendaklah tegas membuangnya atau menolaknya. Hendaklah segera membuangnya, jangan berlengah mahupun teragak-agak meskipun ia datang dalam bentuk yang amat menarik seperti seutas gelang emas yang indah.