Pada edisi yang lepas kita telah mengupas adab-adab ziarah kubur. Antara pelajaran yang penting ialah tujuan ziarah kubur di dalam Islam, di mana ia bertujuan memberi manfaat kepada penziarah dan bukannya yang diziarah. Ramai yang tidak tahu akan tujuan ziarah ini lalu mereka hanya fokus kepada memberi manfaat kepada yang diziarah (ahli kubur) sementara mereka pulang ke rumah tanpa apa-apa manfaat.

Dalam edisi ini kita menyambung adab-adab ziarah kubur, moga ia bermanfaat bagi semua.

 kubur_copy.jpeg

 

Tidak Solat Di Kubur.

Dilarang dari mendirikan solat di kubur kecuali solat jenazah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Dirikanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan. [Shahih al-Bukhari, no: 414/432]

Dalam hadis di atas Rasulullah mengumpamakan rumah yang tidak didirikan solat di dalamnya sebagai kubur kerana kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk mendirikan solat. Solat yang dimaksudkan agar didirikan dalam rumah ialah solat-solat sunat. Ini kerana bagi solat fardhu lima kali sehari, yang lebih utama ialah mendirikannya berjamaah di masjid atau surau.

Selain itu kita juga dilarang dari solat menghadap kubur: Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya. [Shahih Muslim, no: 1614/972] Pengecualian diberikan kepada solat di dalam Masjid al-Nabawi di Madinah kerana atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pembesaran masjid telah menyebabkan kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terletak di dalam masjid. Ini menyebabkan sebahagian jamaah terpaksa solat dengan menghadap kepada kubur baginda. Suasana ini dimaafkan dengan syarat orang itu tidak sengaja memilih tempat di belakang kubur baginda untuk solat dan hati serta fikirannya tidak tertuju kepada kubur baginda ketika solat.

 

Tidak Membaca al-Qur’an Di Kubur.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah. [Shahih Muslim, no: 1300/780]

Hadis ini mencakupi dua maksud. Pertama, perkuburan bukanlah tempat membaca al-Qur’an, kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di dalamnya. Kedua, rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an umpama perkuburan, maka bacalah al-Qur’an di dalam rumah khasnya surah al-Baqarah.

Selain itu telah diterangkan sebelum ini jika seseorang ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada sesiapa yang sudah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana jua. Dia tidak perlu duduk di sebelah jenazah di perkuburannya. 

 

Tidak Melakukan Penyembelihan Di Kubur.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada penyembelihan untuk dipersembahkan di dalam Islam.” Berkata ‘Abd al-Razzaq (pengarang kitab hadis al-Musannaf): “Dahulu mereka (orang jahiliyah) menyembelih lembu dan atau kambing di sisi perkuburan untuk dipersembahkan (kepada ahli kubur).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2805/3222]

Sa‘id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani hafizahullah menerangkan: Apabila penyembelihan dilakukan di perkuburan sebagai amalan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah maka ia adalah bid’ah. Namun jika penyembelihan dilakukan untuk ahli kubur, maka ia adalah syirik besar yang mengeluarkan pelakunya dari Islam.

 

Tidak Memijak Kubur.

Jabir radhiallahu ‘anh menerangkan: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya. [Shahih Sunan al-Tirmizi,  no: 972/1052]

Terdapat empat larangan dalam hadis ini. Pertama, dilarang mengkapur kubur, yakni mensimenkannya atau membuat binaan konkrit, jubin, marmar dan sebagainya. Kapur ialah teknologi binaan zaman Rasulullah sebagaimana simen pada zaman kini.

Kedua, dilarang menulis di atasnya, umpama menulis nama dan doa-doa di batu nisan atau menulis ayat-ayat al-Qur’an di binaan sekeliling kubur. Namun boleh membuat tanda untuk mengenali kubur umpama susunan batu berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meletak batu di sebelah kubur ‘Utsman bin Mazh’un radhiallahu ‘anh dengan sebab:

Aku memberi tanda dengan batu ini untuk kubur saudaraku dan di sinilah akan dikebumikan sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan ahli keluarganya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2791/3206]

Ketiga, dilarang membuat binaan di atas kubur umpama masjid, kubah, tembok dan sebagainya. Jika dibimbangi kubur akan rosak disebabkan kesan alam (hujan lebat, angin kuat, peralihan tanah), boleh membuat binaan yang tingginya tidak lebih sejengkal sekadar untuk memelihara keutuhan kubur.

Keempat, di larang memijak tepat di atas kubur. Boleh berjalan di antara dan di sekitar kubur namun jangan tepat di atas kubur.

Larangan-larangan di atas hendaklah diberi perhatian kerana ramai yang tidak mengetahui tentangnya. Ada yang membelanjakan wang ringgit yang banyak untuk membuat binaan di atas kubur daripada batu marmar, kemudian menghiasinya dengan tulisan-tulisan daripada tinta emas. Semua ini bukan sahaja dilarang tetapi juga satu pembaziran. Seandainya kita mengasihi seseorang, maka berbuat baiklah kepadanya ketika dia masih hidup. Tidak guna menyesal setelah dia meninggal dunia, lalu cuba “mengganti balik” dengan cara menghiasi kuburnya dengan binaan dan tulisan yang mewah.

 

Tidak Bersandar Kepada Kubur.

‘Amr bin Hazm al-Anshari radhiallahu ‘anh menceritakan: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini” [Musnad Ahmad, no: 20391 dengan sanad yang sahih]

 

Tidak Duduk Di Atas Kubur.

Dilarang duduk tepat di atas kubur berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur. [Shahih Muslim, no: 1612/971]

Larangan di atas ditujukan kepada orang yang duduk tepat di atas kubur. Dibolehkan duduk di tepi kubur sebagaimana hadis berikut daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh, dia berkata:

Kami menyaksikan kematian puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (yakni Umm Kaltsum radhiallahu ‘anha). (Anas menyambung): “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk di atas kubur, maka aku melihat kedua-dua matanya menitiskan air mata.” [Shahih al-Bukhari, no: 1205/1285]

Maksud duduk di atas kubur dalam hadis di atas ialah duduk di tepinya ketika proses perkebumian. Dalam sebuah riwayat lain ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menerangkan para sahabat dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk di perkuburan Baqi’ al-Gharqad, lalu baginda memberi tazkirah kepada mereka semua.

 

Tidak Membuang Hajat Di Perkuburan.

Aneh tetapi benar, ada orang yang membuang hajat kecil atau besar di kawasan perkuburan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya). [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1556//1273]

Demikianlah petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam adab-adab menziarahi kubur. Petunjuk-petunjuk ini hendaklah kita pelajari dan laksanakan agar amalan ziarah kubur menjadi sesuatu yang benar-benar bermanfaat bagi kita.