Apabila Allah menguji kita dengan sakit, salah satu sebabnya ialah memberikan peringatan kepada kita untuk kembali kepada-Nya. Memang, suasana sihat kerap kali menyebabkan kita lupa dan lalai daripada beribadah kepada Allah. Maka beruntunglah seseorang itu apabila dia diuji dengan sakit, dia kembali kepada Allah dengan meningkatkan amal ibadah kepada-Nya. Pada waktu yang sama, rugilah seseorang itu yang apabila diuji dengan sakit, dia semakin jauh daripada Allah kerana enggan beramal ibadah kepada-Nya.

Apabila Allah menguji para hamba-Nya dengan sakit, Allah mengetahui bahawa sebahagian penyakit itu menyukarkan hamba-Nya untuk bersuci sebelum beramal ibadah. Ada penyakit yang menyebabkan sebahagian anggota wudhu’ tidak boleh bersentuhan dengan air. Ada penyakit yang menyebabkan pesakit tidak dapat bangun untuk mengambil wudhu’. Ada pesakit yang mimpi basah, tetapi tidak dapat mandi wajib. Ada pesakit yang mengalami putaran haid seperti normal, tetapi tidak dapat mandi wajib apabila darah haidnya sudah kering.

Maka Allah memberikan satu solusi sekali gus kemudahan, yakni tayamum sebagai ganti wudhu’ dan mandi wajib bagi menyucikan diri daripada hadas kecil atau hadas besar. Allah berfirman: Dan jika kamu sakit atau musafir atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengannya. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06]

tayammum

Kredit kepada www.sunna.info

 

Cara Tayamum Bagi Orang Sakit

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala sudah menerangkan cara bertayamum, iaitu Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengannya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar cara tayamum sebagai: Sebenarnya cukup kamu melakukan begini… baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya. [Shahih al-Bukhari, no: 326/338] Cara tayamum seperti ini adalah untuk semua orang, baik yang sihat atau sakit, baik yang bermukim atau musafir.

Ada pendapat yang mengatakan, orang yang sakit bersuci dengan cara menggandingkan air dan tayamum. Dia berwudhu’ di anggota yang boleh kena air dan bertayamum di anggota yang tidak boleh terkena air. Mereka juga mengatakan, orang sakit yang berhadas besar mandi wajib di anggota yang boleh kena air dan bertayamum di anggota yang tidak boleh terkena air. Pendapat ini disandarkan kepada riwayat berikut:

Jabir berkata, kami pernah keluar dalam sebuah perjalanan lalu salah seorang di antara kami terkena batu pada kepalanya yang membuatnya terluka berat. Kemudian (ketika tidur) dia bermimpi basah, maka dia bertanya kepada para sahabatnya: “Apakah ada keringanan untukku agar aku bertayamum saja?” Mereka menjawab: “Kami tidak mendapatkan keringanan untukmu kerana kamu masih mampu menggunakan air.”

Maka orang tersebut mandi dan langsung meninggal dunia (kerana air yang terkena luka di kepalanya). Ketika kami sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, baginda diberitahukan tentang kejadian tersebut, maka baginda bersabda: “Mereka telah membunuhnya, semoga Allah membunuh mereka! Kenapakah mereka tidak bertanya apabila mereka tidak mengetahui kerana ubat bagi tidak tahu ialah bertanya.

Sesungguhnya cukuplah baginya untuk bertayamum dan memerah meneteskan air pada lukanya, atau mengikat lukanya, kemudian mengusapnya saja dan mandi untuk selain itu pada seluruh tubuhnya yang lain. [Sunan Abu Daud, no: 284/336]

Dalam riwayat di atas, diterangkan bahawa bagi orang yang sakit, dia menggandingkan antara tayamum dan mandi, serta ditempat yang luka dia membalutnya dan mengusapnya. Akan tetapi riwayat di atas statusnya dilemahkan oleh para ahli hadis seperti Imam al-Daraquthni, Imam al-Baihaqi, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Syaikh al-Albani [Irwa’ al-Ghaleel, no: 105]. Selain dari itu, Allah telah menyebut secara jelas di dalam al-Qur’an bahawa bagi orang yang sakit, cukup baginya untuk bertayamum sahaja. Allah tidak menggandingkan tayamam dan wudhu’ atau tayamum dan mandi wajib.

Oleh itu bagi orang yang sakit, dia memiliki dua pilihan. Pertama, dia boleh berwudhu’ sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini (Wudhu’ Ketika Sakit, Dara.com Januari 2014). Kedua, dia boleh bertayamum dengan menepuk kedua-dua telapak tangan di dinding wad hospital atau rangka besi katilnya.

 

Lain-Lain Kegunaan Tayamum

Tayamum sebagai kemudahan, nikmat dan hadiah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala dapat kita manfaatkan dalam beberapa keadaan masa kini. Antaranya, apabila seseorang itu ke masjid dan tempat wudhu’ sesak dengan orang ramai, dia boleh bertayamum agar tidak terlewat solat berjemaah bersama imam. Apabila tempat wudhu’ jauh, seperti di Masjidil Haram di Mekah atau Masjid Nabi di Madinah, boleh juga bertayamum. Bertayamumlah dengan menepuk kedua-dua telapak tangan ke dinding masjid, kemudian usaplah ke muka dan kedua-dua tangan sehingga pergelangan.

Kehidupan di asrama kerap kali menyebabkan seseorang itu menunggu lama untuk menggunakan bilik air, baik untuk berwudhu’ atau mandi wajib. Justeru jika anda mendapati darah haid sudah berhenti sementara waktu Subuh hampir berakhir dan bilik air pula penuh sesak, maka bertayamumlah dengan dinding bilik kemudian dirikanlah solat Subuh. Kemudian mandilah apabila bilik air sudah kelapangan.

Jika tepukan ke dinding menyebabkan debu atau habuk melekat di telapak tangan, tiupkanlah terlebih dahulu agar ia tidak memberi kesan sampingan kepada mata, hidung dan mulut. Ini selari dengan perbuatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Jika sedang musafir dalam bas, keretapi atau kapal terbang, boleh bertayamum dengan rangka kerusi yang diperbuat daripada besi atau aluminium. Logam-logam ini adalah daripada bumi dan bumi seluruhnya adalah bahan tayamum bagi kita umat Muhammad.