Soalan:

Apakah maksud pakaian Syuhrah? Boleh ustaz terangkan dengan jelas.

Instishaar, Selangor.

 

Jawapan: Pakaian Syuhrah ialah pakaian yang dipakai dengan tujuan (niat) untuk meraih kemasyhuran. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka. [Shahih Sunan Abu Daud,no: 3511/4029]

Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa dilarang meraih dua bentuk kemasyhuran dalam berpakaian, yang pertama adalah memakai pakaian yang baik demi menarik perhatian orang atau keduniaan, yang kedua adalah memakai pakaian yang buruk demi menarik perhatian kepadanya.