Soalan:

Kawan saya (perempuan) perlu menghadiri satu majlis makan malam yang memerlukan dia berada di majlis tersebut dari waktu maghrib hingga lewat malam dengan pakaian dan solekan. Bolehkah kawan saya jamak solat Maghribnya ke dalam waktu Isyak atau sebaliknya?

Puteri Airin, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Soalan yang tepat bukanlah boleh jamak atau tidak, tetapi berkenaan pakaian dan solekan. Seorang muslimat hendaklah sentiasa memakai fesyen pakaian yang menutup aurat, tidak ketat sehingga mengikut bentuk aurat, tidak nipis sehingga menampakkan gambaran aurat dan tidak menyerupai fesyen pakaian lelaki.

Jika fesyen ini difahami dengan betul, maka tidak ada perbezaan antara fesyen pakaian seorang muslimat ketika dalam solat dan di luar solat. Dalam erti kata lain, pakaian yang digunakan hendaklah tetap sama. Adapun pemakaian telekung, itu hanya adat Nusantara dan bukan kewajipan Islam.

Demikian juga dengan solekan, ia diharamkan kerana merupakan perhiasan (tabarruj) di hadapan khalayak ramai. Justeru baik dalam solat atau luar solat, wajah seorang muslimat tetap tulen tanpa disadur dengan bahan-bahan kimia tiruan yang diberi nama indah “solekan”.

Oleh itu seorang Muslimat dalam kehidupan sehari-hariannya, baik untuk menghadiri majlis keramaian atau kebiasaan, sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk solat. Seorang muslimat tidak bersikap hipokrit, yakni menutup aurat apabila menghadap Allah tetapi menyingkap aurat apabila menghadap manusia, berwajah tulen apabila menghadap Allah tetapi berwajah tiruan apabila menghadap manusia.