Dari munirahayati2000
Date: Wed Mar 5, 2003 8:07 am

Assalamualaikum,

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akherat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. AN NUUR (24:2)quran.jpg

saya masih perlukan penerangan, kali ini saya bawa ayat di atas pula.
ada seorang ustazah memberi tahu tafsiran beliau terhadap ayat di atas sebegini;

"Dlm ayat tersebut, Allah sebut 'perempuan yg berzina' dahulu sebelum 'lelaki yg berzina'. Ini adalah kerana zina bermula kerana perempuan. (i.e perempuan yg menggoda, tak tutup aurat, suara manja etc.) Jika tidak, tidak akan terjadi zina sebab kalau lelaki jahat yg mulakan terjadilah kejadian permerkosaan. "

soalan saya boleh kah tafsirkan begini, i.e mengikut turutan sebutan
sesuatu dlm ayat al Qur'an?

Jawapan:

Firman Allah:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. [Maksud surah al-Nur 24:02]

Ya memang benar, susunan ayat tentang sesuatu objek atau subjek memang boleh menjadi hujah dalam kaedah tafsir. Memang ada disebut bahawa didahulukan wanita daripada lelaki adalah kerana wanita adalah penyebab utama bagi perzinaan berbanding lelaki.

Namun saya mengukur dari sudut yang lain, iaitu sudut perbicaraan keseluruhan ayat di mana ia membicarakan tentang hukum yang perlu dijatuhkan ke atas penzinaan. Ayat ini tidak membicarakan sebab-sebab yang menyebabkan penzinaan.

Apabila dibicarakan tentang hukum yang perlu dijatuhkan ke atas penzina, maka pendahuluan wanita ke atas lelaki adalah supaya seseorang itu lebih prihatin kepada wanita kerana mereka tidak mempunyai suasana fizikal seumpama lelaki.

Ayat tersebut menyebut:

"Fajlidu kullu wahidin minhuma mi-a-ta………."

Berkata al-Zamarkashi, Perkataan Fajlidu berasal dari kata jilid yang bererti kulit. Bererti sebatan 100 kali hanyalah kepada kulit dan tidak tertembus sehingga mengena isi (flesh) penzina itu.

Antara lelaki dan wanita, pasti sahaja mereka memiliki daya tahanan kulit yang berlainan. Oleh itu perhatian harus diutamakan kepada wanita supaya hukum rotan tersebut tidak menebusi ke kulitnya.

Aya tersebut menyambung:

"Wa la ta' khuzkum bihima ra'fatun fi deen Allah…………"

Berkata Quraish Shihab, Perkataan Ra'fatun sama kategori dengan Rahmah/Rahim akan tetapi ia memiliki maksud kasih sayang yang melimpah ruah yang melebih keperluan sedangkan Rahmah/Rahim adalah sesuai dengan kadar keperluan.

Kelazimannya seseorang itu akan lebih membelas kasihi seseorang wanita daripada lelaki ketika akan dikenakan hukuman hudud. Maka kerana itu dalam ayat ini Allah mendahulukan wanita daripada lelaki agar belas kasihan kita kepadanya tidak menyebabkan kita tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Atas dua sebab ini saya berpendapat didahului wanita di atas lelaki adalah kerana beberapa keistimewaan yang perlu ditumpukan kepada wanita apabila dijatuhkan hukum hudud.

Wasallam.

Joomla SEF URLs by Artio