Soalan:

Ada beberapa rakan saya yang selepas bernikah, mereka menceritakan pengalaman mereka “di malam pertama” bersama pasangan. Saya merasa tidak selesa dengan hal ini kerana berpendapat ia adalah rahsia antara suami dan isteri yang tidak patut diceritakan kepada orang lain, sekali pun sahabat karib. Apakah hukum agama dalam isu ini?

 

Jawapan:

Hubungan seks di antara suami dan isteri adalah di antara rahsia rumahtangga yang mesti dipelihara. Berkenaan isu ini, terdapat sebuah riwayat di mana Asma’ binti Yazid berkata bahwa dia berada di sisi Rasulullah sementara para lelaki dan wanita juga duduk di sisi baginda. Baginda bersabda: “Mungkin salah seorang lelaki menceritakan apa yang dilakukannya dengan isterinya, dan mungkin seorang wanita menceritakan apa yang dilakukan bersama suaminya?” 

Orang-orang pun terdiam, lalu aku (Asma’) berkata: “Benar, Demi Allah! Wanita-wanita itu menceritakannya dan para lelaki juga melakukannya.” Kemudian baginda bersabda: “Janganlah kalian melakukannya, ia seumpama syaitan lelaki yang bertemu dengan syaitan perempuan di tengah jalan, kemudian mereka melakukan hubungan seks sementara orang-orang melihatnya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 27583 dan dalam sanadnya terdapat kelemahan. Namun terdapat hadis lain yang seumpama sehingga ada yang menilainya pada darjat hasan.

Hadis ini menunjukkan kehinaan suami mahu pun isteri yang menceritakan kepada orang lain berkenaan hubungan seks mereka. Ia umpama syaitan yang melakukan hubungan seks di tengah jalan sehingga dapat dilihat oleh orang ramai. Sesiapa yang mencermati perumpamaan ini pasti akan menjauhi perbuatan menceritakan rahsia bilik tidur kepada orang lain.

Pengecualian diberikan kepada pasangan yang mengalami masalah berkaitan hubungan seks, lalu mereka dibolehkan untuk berbincang dengan doktor atau pakar rujuk dalam bidang hubungan seks.