بسم الله الرحمن الرحيم


إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

Pendahuluan.

Topik “Pandangan Ibn Taimiyyah dalam Tasawuf” adalah satu persoalan yang amat penting kepada masyarakat Islam. Paling kurang kepentingan ini terletak dalam dua sudut:

1.      Membetulkan salah anggap sebahagian masyarakat Islam yang cenderung kepada ilmu tasawuf bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak ilmu tasawwuf secara keseluruhannya, malah bertindak keras untuk membasminya.

2.      Menjernihkan salah faham sebahagian lain masyarakat Islam yang cenderung kepada manhaj Ibn Taimiyyah akan tetapi tidak menguasainya secara keseluruhan. Mereka tersalah faham bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak dan membasmi ilmu tasawuf lalu dengan itu mereka juga menolak dan membasmi ilmu tasawwuf.

Insya-Allah dalam ruangan yang serba terbatas ini, penulis akan cuba untuk membetulkan salah anggap dan menjernihkan salah faham di atas. Atas dasar ini penulis membahagikan kertas kerja ini kepada dua bahagian utama, Bahagian Pertama memberi pengenalan umum kepada ilmu tasawuf manakala Bahagian Kedua membahas pandangan Ibn Taimiyyah dalam ilmu tasawuf.