myanmar-disas.jpgApabila berlaku sesuatu musibah, bala’, fitnah atau tragedi alam, kita lazim berkata “Pasti ada sebab atau hikmah Allah di sebaliknya. Ia hanya satu peristiwa yang buruk pada ukuran manusia tetapi tidak buruk pada ukuran Allah.”

Perkataan di atas adalah benar akan tetapi yang menjadi persoalan adalah, sejauh mana kita yakin dan tenteram dengan perkataan tersebut. Atau mungkinkah di celah-celah hati timbul soalan “Kenapa Allah bertindak zalim mengazab orang yang tidak bersalah?” Atau mungkin rakan bukan Islam kita yang bertanya “Kenapa tuhan Islam kejam menghukum manusia, termasuklah umat Islam sendiri, dengan kebuluran, gempa bumi, taufan dan banjir?”

Seandainya kita memiliki jawapan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, sudah tentu ia akan menjadikan hati kita benar-benar yakin dan tenteram. Bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala memang memiliki sebab dan hikmah di sebalik sesuatu peristiwa musibah, bala’, fitnah dan tragedi alam.

Tulisan ini insya-Allah akan cuba memaparkan sebab dan hikmah tersebut berdasarkan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sebelum itu akan diberikan beberapa keterangan sebagai pendahuluan:

{xtypo_quote}Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah..{/xtypo_quote}
Pertama: Maksud Musibah, Bala’ dan Fitnah.

  • Musibah ialah sesuatu yang tidak disukai yang ditimpakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas manusia akibat daripada kesalahan besar yang mereka lakukan.
  • Bala’ ialah ujian yang Allah beri kepada seseorang demi kebaikan dirinya sendiri sekali pun orang itu pada asalnya tidak menyedarinya.
  • Fitnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada manusia tanpa dibezakan sama ada disebabkan oleh kesalahan manusia itu atau untuk kebaikan manusia tersebut.
  • Maka fitnah adalah umum manakala musibah dan bala’ adalah khusus. Fitnah boleh merangkumi musibah atau bala’.
Walaubagaimana pun untuk memudahkan tulisan ini, musibah, bala’ dan fitnah akan disebut secara bersamaan.

Kedua: Antara Izin Dan Redha Allah.
Setiap musibah berlaku dengan izin Allah sebagaimana firman-Nya:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلاَّ بِإِذْنِ اللَّهِ

Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah. [al-Taghabun 64:11]

Perhatikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala menggunakan perkataan “izin”, di mana sesuatu yang diizinkan oleh Allah tidak semestinya diredhai oleh Allah. Ini sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala mengizinkan manusia untuk beriman atau tidak kepada-Nya:

وَقُلْ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

Dan katakanlah: “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” [al-Kahf 18:29]

Namun di sebalik keizinan ini tidaklah bererti Allah redha kepada makhluk yang enggan beriman kepada-Nya:

إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ وَلاَ يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ

Jika kamu kafir, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman) kamu dan Dia tidak (sekali-kali) redha hamba-hamba-Nya berada dalam keadaan kafir; akan tetapi jika kamu bersyukur (dengan beriman kepada-Nya), Dia meredhainya bagi kamu. [al-Zumar 39:07]
Justeru apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengizinkan sesuatu musibah, tidaklah bererti Allah meredhainya. Namun Allah tetap mengizinkannya kerana sesuatu sebab atau hikmah yang ingin dicapai di sebalik musibah tersebut.