Hafiz Firdaus bin Abdullah lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1971 dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di St. John's Institution, Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Pada tahun 1989 beliau menyertai Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) sebagai seorang juruterbang.

Sejak awal beliau memiliki minat yang besar dalam ilmu-ilmu agama. Kerjayanya sebagai juruterbang memberi banyak kelebihan (advantage) bagi beliau untuk memahami agama dari perspektif yang lebih luas. Pada waktu yang sama beliau juga dapat menimba ilmu daripada pelbagai tokoh dan sumber di serata dunia.

Berpegang kepada konsep "Bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan", Hafiz Firdaus mula menulis sejak tahun 1999. Manhaj beliau ialah mengkaji sesuatu topik daripada sumber khazanah ilmu tokoh-tokoh terdahulu lalu menyusun dan menyampaikannya dalam bentuk yang mudah lagi relevan dengan isu-isu terkini.

Alhamdulillah sambutan yang baik daripada para pembaca menjadi pendorong kepada beliau untuk terus menulis topik-topik yang lebih penting dan besar. Sehingga kini Hafiz Firdaus telah menulis belasan buah buku bersama Penerbitan Jahabersa dengan sambutan yang luas di Malaysia dan negara-negara jiran.

Dipetik Dari Millenia Muslim Mei 2006


HAFIZ FIRDAUS - JURUTERBANG DI LANDASAN AGAMA
oleh : Maizura Mohd Ederis

Sesat! Gila Isim! Ini antara tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya. Malah ada yang menulis surat aduan kepada Jakim. Bagi sesetengah orang, kehadirannya di platform agama hanya untuk mengganggu ‘wilayah’ para agamawan. Pun, semua itu tidak dipedulikannya. Atas niat ingin mengubah pemikiran umat Islam di Malaysia, Hafiz Firdaus Abdullah tetap menulis dan menyampaikan ceramah agama. Membawa tagline ‘bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan’, beliau kini menghasilkan 24 judul buku, menyunting 17 judul oleh pengarang lain dan memberi ceramah setiap bulan.

Siapakah Hafiz Firdaus Abdullah? Dia bukan lah seorang agamawan, jauh sekali untuk memiliki ijazah panjang berjela dalam bidang keagamaan. Dia seorang pilot, berusia 35 tahun dan sangat rajin membaca. Sebelum ini, saya mengenalinya hanya melalui laman web www.al-firdaus.com yang mengupas isu-isu agama. Hanya pada Mac lalu saya sempat berkunjung ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

“Ini lah perpustakaan saya,” katanya mempelawa saya masuk ke sebuah bilik seluas dua bilik tidur utama rumah teres. Deretan buku yang disusun kemas memenuhi segenap ruang dinding - dari lantai ke siling! Kira-kira 70 peratus daripada koleksi buku dalam perpustakaan itu adalah hadis dan diantaranya termasuk dalam kategori ‘rare’ atau ‘endangered spesies’ seperti Musnat alBazzar, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan Sunan Said Bin Mansur.

Sebaik duduk di kerusi, saya terus bertanya tentang konsep yang agak asing bagi masyarakat Malaysia - bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan. Apa benar orang Malaysia kurang bijak kerana lebih memandang kepada ‘orang’ yang berkata, bukan ‘apa’ yang diperkatakan? “Orang Malaysia memang bijak. Sebagai contoh, golongan profesional seperti doktor tidak memandang nama penulis sesebuah buku tetapi fakta dan maklumat yang terdapat dalam buku itu. Hanya dalam bidang agama, mereka lihat kepada ’siapa’ yang menulis, bukan ‘apa’ yang ditulis. Dalam urusan dunia, orang kita boleh membuat analisa dan mengkaji sesuatu fakta. Tapi dalam urusan akhirat, mereka tidak mahu mengkaji, sebaliknya jadi pak turut sahaja.”

Kenyataannya memang benar kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat mempelajari ilmu agama daripada mereka yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja. Kredibiliti ustaz dan ustazah pula dinilai berdasarkan berapa banyak ijazah yang ada, berapa besar serban yang dipakai, sejauh mana populariti dan setinggi mana jawatan dalam institusi keagamaan.

Kebiasaan ini tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Pada era kegemilangan Islam,tokoh yang gigih mengembangkan Islam adalah di kalangan mereka yang dalam profesyen bukan-agama. Ibnu Sina seorang doktor, Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah, Ibnu Tufail seorang ahli falsafah, Ibnu Batuta seorang ahli pelayaran dan lain-lain lagi.

Sahabat karib Brother Hafiz, Tuan Hasan Tuan Lah berkata, pembabitan seorang pilot sepertinya dalam bidang agama bukan sesuatu yang menghairankan kerana kebanyakan Mursyid Ikhwan Muslimoon pun bukan dari golongan agamawan. Pemimpin Ikhwan Lebanon, Ustaz Fathy Yakan misalnya, seorang jurutera. Syaikh Sayyid Qutb yang berkelulusan sastera dan bekas Nazir sekolah di Mesir telah menghasilkan Tafsir Fi Dzilal yang menakjubkan itu. Tuan Hasan turut memetik nama-nama seperti Syaikh Mustafa Masyhur seorang ahli Kaji Cuaca, Syaikh Hasan al-Hudhaibi seorang peguam dan Imam Albani seorang pembaiki jam. Justeru, kenapa di Malaysia wujud satu jurang yang besar antara profesional dalam bidang agama dengan profesional dalam bidang lain?

“Ini berpunca daripada fenomena sekularisme dalam bentuk baru,” jawab Hafiz Firdaus. “Jika sekularisme yang lama memisahkan urusan agama dengan kehidupan harian, sekularisme yang baru memisahkan golongan agamawan dengan bukan-agamawan. Pendapat mengenai agama hanya dipegang oleh agamawan. Orang agama juga tidak masuk ke bidang lain. Orang dalam bidang lain pula tidak boleh masuk ke wilayah orang agama. Ini adalah Islam Sekular.”

Bagaimanapun, menurutnya, sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda yang positif ke arah merapatkan jurang antara bidang agama dengan bidang lain. Sebagai contoh, Muhammad Amin Yaakob yang bertugas dalam bidang perbankan telah menulis buku Christianity through the lens of Christians & Muslim Scholar.

Hasil penulisan dan ceramah Brother Hafiz juga sudah mula mendapat perhatian masyarakat terutama di kalangan intelektual dan pelajar universiti. Mengenai golongan yang mengkritiknya, Brother Hafiz yakin kritikan mereka tidak berasas dan hanya didorong oleh rasa terganggu apabila ada orang lain menceroboh ‘wilayah’ mereka. Mujur Jakim tidak melayan surat aduan mengenainya kerana kelemahan hujah si pengadu. “Mereka memarahi saya dengan kata-kata yang buruk dan penuh emosi. Tidak ada hujah yang rasional. Jadi saya abaikan. Malah saya berasa kasihan pula kepada mereka,” katanya merujuk kepada e-mel yang diterima daripada golongan yang tidak menyenanginya.

Apa pun, kritikan yang penuh emosi dan tidak berasas itu lah yang membakar semangatnya untuk terus menulis dan memberi ceramah secara percuma. “Saya tak ambil bayaran. Ini pelaburan akhirat. Kepuasan saya adalah apabila orang dapat kongsi ilmu dengan orang lain. Perkara yang baik perlu disebar dan dikongsi.”

Mengimbas pembabitannya dalam bidang agama, segalanya bermula pada usia 22 tahun. Sebagai anak jati Kuala Lumpur, pada usia itu beliau sudah pun puas menikmati keseronokan dunia. “Saya mula bawa kapalterbang pada usia 19. Besar di KL, saya dah rasa macam-macam. Letih dengan semua itu. Saya mula mencari sesuatu yang baru. Itu lah masanya saya berfikir untuk menjadi lebih matang dan serius dengan hidup ini.”

Memandangkan kerjaya sebagai juruterbang tidak memberi masa yang banyak untuk berguru, Brother Hafiz mula membaca buku-buku agama yang bersifat ilmiah. Antara bacaan awal yang memberi pengaruh kepadanya ialah buku bertajuk Bagaimana Berinteraksi Dengan Sunnah tulisan Shaikh Yusuf al-Qardawi.

Beliau mengenepikan pendapat masyhur, berguru dengan buku umpama berguru dengan syaitan. “Memang ramai yang kata begitu. Saya pulangkan balik pertanyaan kepada mereka, adakah dengan mempunyai guru bermakna menuntut ilmu dengan malaikat?” Larangan menuntut ilmu agama melalui buku kerana bimbang disesatkan oleh syaitan adalah mitos semata-mata, bukannya fakta. Ia satu kepercayaan masyhur yang diwarisi oleh masyarakat Islam secara turun temurun. Sebenarnya, yang menentukan sesat atau tidak, betul atau salah, bukan lah guru tetapi dalil dan hujah.

“Dalil dan hujah boleh datang daripada pelbagai sumber seperti televisyen, radio, suratkhabar dan sebagainya. Jangan batas kepada guru sahaja. Jika dalam bidang lain, kita boleh ambil daripada banyak sumber kenapa dalam bidang agama kita hadkan pada satu sumber sahaja?”

Berdasarkan pengalamannya dengan para ustaz tempatan, tidak ramai yang mampu menjawab persoalannya dengan hujah dan dalil yang memuaskan. Tidak kurang juga yang meluahkan ungkapan biasa, “ikut saja lah.” Sebagai contoh, pengalaman berada di banyak negara luar menemukan beliau dengan pelbagai amalan agama yang berbeza di kalangan umat Islam. Jawapan biasa yang diterimanya, “Itu mazhab mereka. Jangan hiraukan.” Tidak kurang juga yang berkata, “Jangan cerita benda yang boleh pecah belahkan umat Islam.” Bagi Brother Hafiz, itu satu pendapat yang sangat jumud. Berdasarkan kajian dan pembacaannya, umat Islam dari satu-satu mazhab perlu berinteraksi dengan mazhab lain agar dapat mewujudkan toleransi terhadap pendapat yang berbeza antara imam-imam agung itu.

Kajian selama dua tahun kemudiannya mendorong beliau menulis buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam, diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini adalah bukunya yang paling laris, dicetak sebanyak dua kali dalam jumlah 2,000 naskah. Contoh lain, juruterbang sepertinya sering mengalami masalah dalam melakukan solat jama’ dan qasar semasa penerbangan. Tidak puas hati dengan penerangan ustaz, beliau terpaksa membuat penyelidikan sendiri, membaca dan menganalisa sehingga akhirnya terhasil buku bertajuk Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan. Buku pertama yang diterbitkannya adalah Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu (sebagaimana yang dilakukan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW) pada tahun 1999.

Bagi mempertajamkan penanya, Brother Hafiz membaca kira-kira 10 buku dalam sebulan. Di peringkat awal, antara dugaan dalam membaca ialah tidak mendapat galakan daripada kawan-kawan yang bimbang dia akan tersesat. Antara yang diingatnya ialah semasa menunaikan haji di Mekah. “Saya dikritik oleh rakan sebilik kerana asyik membaca. Mereka takut saya sesat kerana terlalu banyak membaca. Sedangkan mereka mengisi masa lapang mereka dengan hanya berbual kosong.”

Dugaan dalam menulis pula, katanya, ialah kesukaran untuk memenangi hati penerbit. “Mereka tidak mahu terbit buku saya kerana latarbelakang saya bukan sebagai agamawan. Biografi saya zero.” Jodoh Brother Hafiz akhirnya dengan penerbit Jahabersa yang tidak memandang kepada siapa dirinya tetapi fakta yang terdapat dalam penulisannya. Melihat koleksi bukunya yang cenderung kepada hadis, Brother Hafiz mengakui minatnya adalah lebih kepada hadis kerana bidang ini sangat kurang mendapat perhatian di Malaysia.

“Pengahayatan masyarakat terhadap hadis masih di tahap rendah. Semasa kecil dulu kita diajar membaca Al-Quran tetapi tidak pula diajar hadis.” Minat ini mendorong beliau menghasilkan trilogi hadis bertajuk 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah dan Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil. Selain itu, beliau juga cenderung untuk menyanggah golongan syiah dengan menulis buku bertajuk Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah. Buku ini ditulis dalam tiga siri, diterbitkan pada tahun 2004 dan 2005. Tidak seperti golongan anti-hadis yang sudah mulai berkurangan di Malaysia, golongan Syi’ah pula semakin meningkat terutama di universiti tempatan. Justeru, sebagai umat Islam, beliau berasa bertanggungjawab untuk membendung fahaman ini daripada terus menular.

Menyentuh mengenai anggapan seseorang boleh menjadi gila Isim kerana terlalu banyak membaca dan mengkaji, Brother Hafiz menegaskan bahawa gila isim bukan sahaja terdapat dalam bidang agama tetapi dalam bidang-bidang lain. “Seseorang boleh jadi gila isim jika terlalu banyak mengkaji dan berfikir tanpa menyeimbangkan dengan aktiviti harian seperti berkeluarga, bekerjaya, beriadah, bersosial dan sebagainya. Tuduhan saya gila isim tidak benar kerana saya ada keluarga. Selain membaca dan mengkaji, saya juga bawa kapalterbang.”

Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) ini mendirikan rumahtangga dengan bekas kakitangan MAS, Mariyati Mat Nasir dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Siti Nur Khatijah, 9, dan Umar Firdaus, 8.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa menuntut ilmu melalui pembacaan tidak akan menyebabkan seseorang jadi sesat atau gila isim selagi seseorang itu berniat ikhlas untuk mencari kebenaran. Sekiranya seseorang itu ikhlas, Allah SWT akan membantunya seperti mana yang difirmankan-Nya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69, bermaksud, “”Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

Dugaan lain bagi Brother Hafiz ialah kesukaran mendapatkan orang untuk membantunya membuat suntingan, proof reading, memberi pendapat dan sokongan. Pada peringkat awal, beliau juga terpaksa mempelajari cara menggunakan perisian Microsoft Words. Setelah sembilan tahun aktif dalam bidang penulisan, tirai tahun ini dibuka dengan buku terbaru bertajuk Wahai Ibu! Wahai Ayah! Buat masa ini, Brother Hafiz belum merancang untuk menulis buku lain tetapi sudah menerima tanggungjawab untuk menyunting lima buah buku terbitan Jahabersa.

Dalam bidang ceramah pula, beliau mengakui lebih selesa berhadapan dengan pelajar universiti berbanding mereka yang di surau atau masjid. “Pelajar universiti benar-benar hendak belajar. Mereka ambil nota dan tanya soalan. Tapi orang di surau atau masjid hanya mendengar ceramah bagi mengisi masa lapang antara waktu solat.”
Sebagai penulis, beliau tidak menetapkan sasaran jumlah buku yang akan ditulis tetapi berazam akan menulis seberapa banyak yang boleh demi kepentingan ummah. Falsafah hidupnya bersandarkan kepada hadis bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanafaat kepada manusia lain” (Daraquthni).

“Saya cuba untuk menepati hadis tersebut,” katanya yang kesal melihat sikap bangsa Melayu yang enggan berkongsi ilmu atau kepakaran secara percuma dengan orang lain. Ini sangat berbeza dengan sikap masyarakat Cina - samada Islam atau tidak - yang tidak lokek berkongsi ilmu, kemewahan atau apa sahaja yang dimiliki.

ALIRAN PEMIKIRAN UMAT ISLAM MALAYSIA

Wawancara kami berpindah dari hal peribadi kepada persoalan umat Islam di Malaysia. Beliau sependapat dengan saya bahawa tradisi intelektual masih kurang di kalangan umat Islam di sini. Amalan menuntut ilmu agama juga sangat statik.

“Ramai yang rasa sudah memadai dengan hanya mempelajari agama semasa di sekolah dahulu. Ini tidak betul. Mereka perlu terus belajar, bersifat terbuka, membuat analisa dan berani mempertahankan ajaran yang benar.”

Situasi kini masih ramai umat Islam yang tidak kenal Islam secara keseluruhan tetapi hanya mengenali sebahagian kecil atau sesuatu aspek sahaja. Sebagai contoh, semasa fenomena Tsunami melanda Asia, orang Islam menggembar-gemburkan tentang masjid di Acheh yang tidak musnah sedangkan Hard Rock Cafe di Phuket yang juga berdiri kukuh langsung tidak diperkatakan. Semua orang mengaitkan masjid itu dengan ‘keagungan’ Islam tetapi tidak ada seorang pun yang bercakap tentang kekukuhan struktur bangunannya yang memungkinkan ia tidak musnah.

Pada pandangan Brother Hafiz, ini membuktikan bahawa umat Islam hanya ‘gembira’ dan ‘teruja’ dengan Islam apabila berlaku perkara-perkara yang luar biasa pada pandangan mereka. Padahal, sekiranya umat Islam menghayati Islam secara keseluruhan, pasti mereka akan ‘gembira’ dan ‘teruja’ sepanjang masa tanpa perlu menunggu perkara-perkara luar atau mengada-adakan perkara supaya nampak luar biasa untuk mengaitkannya dengan keagungan Islam.

Bagaimanapun, menurutnya ada perkembangan baik sejak akhir-akhir ini apabila masyarakat mula berfikir secara sihat dan pandai berhujah berdasarkan fakta. Cuma apa yang dibimbangkan ialah kemunculan sekelumpuk orang Islam yang terlebih fikir sehingga sanggup mentafsirkan Islam berdasarkan akal sendiri, tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Golongan yang dilabel sebagai Islam Liberal ini sama bahaya dengan aliran Syiah yang sedang berkembang pesat di Malaysia sekarang. Islam Liberal, menurut Brother Hafiz adalah mirip Islam Sekular cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

Selain itu, katanya terdapat juga aliran Hizb Tahrir yang berasal dari Syria. “Konsep gerakan ini ialah menegakkan khalifah iaitu pemimpin Islam. Mereka masuk melalui universiti dan sekarang ini meluas di Timur Tengah, Indonesia dan Filipina.”

Ketiga-tiga aliran ini - Islam Liberal, Hizb Tahrir dan Syiah - adalah tidak bersandarkan kepada dalil yang sah. Sementara itu, mengenai Wahabi, Brother Hafiz menegaskan ia bukan lah satu aliran pemikiran tetapi lebih kepada satu gelaran yang dicipta oleh orang-orang yang tidak bersetuju dengan gerakan tajdid yang dibawa oleh Shaikh Muhammad Abdul Wahab di Semenanjung Arab. Di Malaysia, katanya, Wahabi lebih merujuk kepada amalan atau ajaran yang berdasarkan dalil dalam Al-Quran dan Sunnah tetapi berbeza dengan kebiasaan masyarakat.

Mengakhiri wawancara, Brother Hafiz berharap agar umat Islam di negara ini dapat membuat anjakan paradigma dalam menghayati agama Islam sebenar dan maju bersama-sama dengan Islam.

“Islam sebenar bukan lah Islam sekular yang meninggalkan agama atau Islam sekular baru yang memisahkan agamawan dengan bukan-agamawan atau Islam Liberal yang ‘menelanjangkan’ Islam. Maaf saya menggunakan perkataan yang agak keras,” katanya merujuk kepada perkataan ‘telanjang’ untuk Islam Liberal.

PENULISAN 

Antara buku oleh Hafiz Firdaus Abdullah
* rujuk laman ebook untuk senarai penuh

1. Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu
(Sebagaimana yang Diajar dan Dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.)
Jahabersa 1999 & 2002 & 2004

2. Menangani Persoalan Doa Qunut: Dibaca atau Tidak?
Jahabersa 1999 & 2002

3. Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah (s.a.w.)
(Suatu Jemputan Ke Arah Berselawat Dengan Sebenar-benar Selawat dan Huraian Tentang Beberapa Salah Faham Dalam Bab Berselawat)
Jahabersa 1999 & 2002

4. Marilah Mendirikan Sembahyang
Jahabersa 2000

5. Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam
Edisi Pertama: Jahabersa 2000
Edisi Baru: Jahabersa 2004, juga edisi e-book di juga edisi e-book di www.al-firdaus.com

6. Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan
Jahabersa 2000, juga edisi e-book di www.al-firdaus.com

7. Solat Tarawikh: 
Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa Yang Menetapkannya kepada 20 Rakaat.
Jahabersa 20008

8. 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya
Jahabersa 2002, juga edisi e-book di www.al-firdaus.com

9. Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah.
Jahabersa 2002, juga edisi e-book di www.al-firdaus.com

10. Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil
Jahabersa 2003, juga edisi e-book di www.al-firdaus.com

11. Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah: 
73 Penilaian Semula Ke Atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari
Jahabersa 2003

12. Apakah Jihad Di Jalan Allah ?
Buku 1: Definisi, Kepentingan dan Kemuliaan Jihad
Jahabersa 2003

13. Apakah Jihad Di Jalan Allah ?
Buku 2: Hukum dan Syarat-Syaratnya
Jahabersa 2004

14. Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi'ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah.
Siri Pertama: Definisi Syi‘ah al-Rafidhah, Sejarah Kelahiran Syi‘ah al-Rafidhah dan 5 Strategi Asas Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Berhujah.
Jahabersa 2004

15. Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi‘ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah.
Siri Kedua: Jawapan Ahl al-Sunnah kepada ayat-ayat al-Qur’an 
yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah.
Jahabersa 2004

16. Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah 
Buku 1: Hadis Ahad, Azab Kubur, Aurat Wanita, Penurunan Nabi Isa, Modernisme dan Islam Liberal 
Jahabersa 2004

17. Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah
Buku2: Operasi Berani Mati, Mandi Bunga, Isra’ dan Mi’raj, Wanita Bekerjaya, dan Fiqh Lintas Agama. 
Jahabersa 2005

18. Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa
(Himpunan Risalah Berkenaan Puasa dan Permasalahannya)
Jahabersa 2005

19. Marilah Berkenalan Dengan al-Qur’an
Jahabersa 2005

Buku-buku yang disunting oleh Hafiz Firdaus Abdullah

1. Christianity Through The Lens of Christian & Muslim Scholars
Part One: The History of Christianity, The Concept of Salvation, The Doctrine of the Trinity and Incarnation (al-Hulul wa al-Ittihad)
Oleh Muhammad Amin Yaacob (Jahabersa 2004)

2. Christianity Through The Lens of Christian & Muslim Scholars 
Part Two: The Doctrine Of The Original Sin And The Atonement, The Crucifixion And The Resurrection Of Jesus Christ, Jesus Was Sent Only To The Israelites, The Authenticity Of The Bible, Contradictions And Errors In The Biblical Text.
Oleh Muhammad Amin Yaacob (Jahabersa 2004)

3. Koleksi Kertas Kerja Seminar "Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Tauladan"
(Jahabersa 2004)

4. Biografi Tokoh Orientalis Menurut Kitab al-A’lam al-Zarikli.
Oleh Mohd. Fikri bin Che Hussain (Jahabersa 2004)

5. Leo Africanos: Pengembara Muslim Yang Belum Dikenali Ramai.
Oleh Dr. Pekka Masonen & Mohd. Fikri bin Che Hussain (Jahabersa 2004)

6. Petunjuk al-Qur'an dan as-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas 
Oleh Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin. Penterjemah: Azzahari bin Murad. (Jahabersa 2004, juga edisi e-book di www.al-firdaus.com)

7. Pengenalan Ringkas kepada Ilmu Ushul al-Fiqh 
Oleh Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin. Penterjemah: Fadlan bin Mohd. Othman (Jahabersa 2004)

8. Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.
Oleh Abu Iqbal Mohd Yaakub bin Mohd Yunus al-Mandeeli (Jahabersa 2005)

9. Keadilan Para Sahabat Di Sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah 
Oleh Mohd. Fikri bin Che Hussain (Jahabersa 2005)

10. Bid‘ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami
Dr.
 Mohd. Asri Zainul Abidin (Jahabersa 2005)