(e-mail dirahsiakan)

Assalamualaikum wbt,

Kepada akh Hafiz Firdaus,

Saya berusia 24 tahun, kini masih menuntut dalam tahun dua jurusan perubatan di sebuah universiti di U.K. Saya aktif dalam kerja-kerja dakwah bersama pelajar Malaysia dan local Muslim di sini. Walau bagaimanapun, kisah yang utama yang mahu saya ceritakan ialah, bermula pada awal tahun lepas, saya telah dikenalkan oleh seorang rakan dalam jemaah (beliau seorang rakyat Nigeria) kepada seorang rakan suaminya kepada saya. Tujuannya ialah secara terang untuk mengambil saya sebagai isterinya. Lelaki itu berasal dari Habasyah (Ethopia), memiliki kerakyatan U.K. dan seorang pelajar yang menuntut dalam jurusan perubatan juga di sebuah university bukan dari bandar yang saya tinggal.

Saya mendapat tahu daripada rakan saya yang beliau sangat baik orangnya, banyak ilmu pengetahuan agama, sering menjadi imam di beberapa buah masjid dan juga memberi kuliah agama. Saya telah mengambil inisiatif untuk menemuinya tahun lepas, dan itulah kali pertama saya bertemu dengannya. Setelah bertukar-tukar pendapat mengenai beberapa isu dan saya dapat merasakan saya sangat serasi dengannya.

Beliau telah melamar saya melalui abang saya tahun lepas (kerana bapa saya tidak tahu berbahasa Inggeris). Keluarga saya tidak bersetuju dengan perkara ini atas alasan:

1. Beliau bukan rakyat Malaysia

(Bapa saya mahu bermenantukan rakyat Malaysia)

2. Saya belum tamat belajar

(Bapa saya mahu saya tamat belajar, barulah saya boleh berkahwin).

3. Beliau masih menuntut.

4. Beliau, menurut pandangan keluarga saya adalah seorang yang 'ektrimis' dalam agama.....seperti, beliau tidak mahu isterinya keluar bekerja , dan mahu isterinya memakai niqab dan sebagainya. (Bagi saya perkara itu tidak menjadi masalah)

4. Bapa saya menanggung segala perbelanjaan pengajian saya dan sara hidup di sini.

Saya sangat buntu memikirkan perkara ini, dan baru-baru ini dia menyatakan lagi hasrat hatinya untuk memperisterikan saya. Saya sekali lagi menanyakan ibu saya dan jawapannya amat mengecewakan.

Saya tidak mahu dipanggil anak derhaka, tetapi, yang pasti saya tidak mahu perkara ini terus mendatangkan dosa kerana saya dan dia masih berhubung di antara satu sama lain. Kami cuba mengingatkan diri masing-masing ke atas siksa Allah , hari akhirat dan sebagainya, tetapi kami sendiri tahu cara yang kami lakukan adalah haram di sisi syarak.

Itulah sebabnya jalan yang terbaik yang kami fikirkan adalah melakukan dengan cara yang halal melalui perkahwinan.

Baru-baru ini juga beliau telah mencadangkan kepada saya supaya kami berkahwin secara rahsia di sini.( Oleh kerana saya berada jauh daripada wali saya). Dan apabila saya tamat belajar nanti, dan pulang ke Malaysia, barulah saya memberitahu kepada ibu bapa saya. Ini adalah untuk menutup segala pintu dosa, dan saya tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada nasib saya di akhirat kelak sekiranya saya mati pada ketika ini.

Saya harap akh dapat memberi nasihat apakah yang dapat saya lakukan sekarang, patutkah saya berkahwin sahaja dalam jangka masa terdekat ini.

Jazakallhukhairan kasira.

 

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah,

Insya-Allah saya membantu sekadar yang mampu, berikut pandangan dan nasihat saya:

[1] Yang pertama dan terpenting, jangan menyelisihi kehendak kedua ibubapa betapa perit dan sukar sekalipun. Hendaklah mencari keredhaan mereka sebagai prioriti kemudian barulah diikuti dengan keredhaan diri kita sendiri. Jika mereka tidak redha akan sesuatu keputusan kita, maka hendaklah ditinggalkan keputusan tersebut selagi ia tidak melibatkan syirik kepada Allah.

[2] Walaubagaimanapun diakui kemungkinan berlaku sedikit “tidak adil” antara keputusan ibubapa dan keputusan si anak. Maklumlah…..anak yang nak kahwin bukannya ibubapa !

Oleh itu hendaklah sentiasa berunding dengan mereka tanpa putus asa, mungkin dengan bercakap secara lemah lembut atau bertegas sedikit……..akan tetapi dalam bertegas itu janganlah berlaku biadap kepada mereka.

Cara lain ialah mencari orang tengah, mungkin pakcik/makcik/abang/kakak yang menyebelahi pilihan ukhtie yang dapat “slow talk” dengan ibubapa untuk mencari keredhaan mereka.

[3] Selagi hal pertama dan kedua di atas belum selesai, saya cadangkan ukhtie mengurangkan atau menghentikan terus perhubungan dengan rakan tersebut agar ia tidak mengganggu keputusan ukhtie di dalam hal ini. Di waktu yang sama lebihkan aktiviti lain seperti kerja-kerja dakwah yang sedang ukhtie lakukan sekarang ini. Kerana apabila kita berada jauh, terasa kekosong yang bersangatan di jiwa yang bakal mengganggu kelurusan fikiran dan keputusan. Syaitan pula akan mengambil kesempatan untuk mengisi kekosongan tersebut dengan hal-hal yang bercanggah dengan syara’.

[4] Saya sedikit musykil dengan cadangan rakan ukhtie tersebut untuk berkahwin secara rahsia padahal dia mengetahui ibubapa ukhtie tidak meredhainya. Ini adalah cadangan yang sangat tidak Islami, umpama membolehkan minum arak apabila berada di bilik yang gelap kerana tiada siapa yang akan lihat. Keteguhan seseorang di dalam agama bukanlah sekadar melaksanakan perintah tetapi adalah juga menjauhi larangan. Dan larangan daripada menderhakai ibubapa adalah antara dosa yang sangat besar selepas syirik.

[5] Di sini saya cadangkan agar rakan ukhtie tersebut mengambil langkah untuk bertemu dengan ibubapa ukhtie dan berbincang dengan mereka. Di samping itu dahulukan perkara yang pertama dan tangguhkan perkara yang sekunder. Yakni utamakan mencari keredhaan ibubapa ukhtie supaya dapat memperisterikan ukhtie dan tangguhkan hal-hal lain seperti kerjaya dan niqab. Di samping itu rakan ukhtie juga harus toleran dengan kehendak ibubapa ukhtie jika, perbincangan dan persetujuan perlu dua hala dan bukan sehala sahaja.

Sekian pandangan dan nasihat saya. Didoakan yang terbaik kepada ukhtie dan rakan untuk mencari jalan keluar dalam cabaran ini. Walauapapun yang pentingnya hendaklah jalan keluar tersebut berlandaskan syari‘at Islam.

Wassalam.