Preaching To The Non Muslim Chinese In Malaysia

Judul buku: Preaching To The Non Muslim Chinese In Malaysia
Penulis: Dr. Osman Chuah Abdullah (UIAM)
Penerbit: Research Centre, UIAM, Gombak 2002
(rescentre@i... Tel: 03-20565010 Fax: 03-20564862)
Harga: RM20.00
Tebal: 103 ms.
Di mana: MPH, Mid Valley Mall, KL.

"Umat Islam Malaysia jarang-jarang dapat memisahkan diri mereka daripada berinteraksi dengan kaum Cina. Sama jiran sebelah rumah, rakan sepejabat, mekanik kereta atau taukey sayur, kita selalu sahaja
berinteraksi dengan kaum cina."

Akan tetapi berapa ramaikah di antara kita yang cuba untuk mendakwahkan Islam kepada kaum cina ? Saya pasti yang ingin mencuba itu ramai tetapi satu persoalan sering menjadi faktor penghalang – “Bagaimanakah hendak berdakwah kepada kaum cina ?”

Ini adalah soalan yang benar kerana dakwah adalah salah satu cabang ilmu di dalam Islam yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Jika di katakan ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu fiqh adalah cabang-cabang ilmu di dalam Islam, maka ketahuilah bahawa dakwah juga merupakan satu cabang ilmu di dalam Islam.

Saya bukan hendak menakutkan para netters daripada berdakwah tetapi sekadar hendak menekankan bahawa dakwah adalah satu perkara yang jauh lebih besar daripada sekadar berkata: “Halo taukey, mau masuk Islam ka ? Kalu masuk Islam lu masuk syurga, kalau tak mau lu masuk neraka. Haaa, mana satu mau ?”

Perlu diingatkan bahawa jika tersalah langkah di dalam berdakwah, orang yang sedang kita dakwahkan itu mungkin akan menutup dirinya daripada Islam untuk selama-lamanya.

Umpamakan salesman yang datang ke rumah untuk memberi demo peralatan elektrik “Electrolux”. Jika salesman itu berlaku tidak sopan atau berkata sesuatu yang menyinggung perasaan tuan rumah, pihak tuan rumah bukan sahaja tidak akan membeli peralatan yang dibawa oleh salesman tersebut tetapi dia akan menjauhkan dirinya daripada apa-apa produk Electrolux sehingga ke satu jangka masa yang lama.

Sebagaimana seorang salesman perlukan ilmu untuk mendakwahkan produknya, kita orang Islam juga memerlukan ilmu untuk mendakwahkan Islam. Malah kita memerlukan lebih ilmu kerana produk yang ingin kita dakwahkan tidak dapat dicapai oleh indra manusia di dunia kini. Pernah saya baca di dalam sebuah buku berkenaan marketing, penulisnya menyebut: “One of the greatest salesman is Muhammad because he was able to sell to thousands of Arab a product (Islam) which they are not able to see nor hold.”

Selain itu di masa kini, “produk” Islam yang sedang kita dakwahkan memiliki imej yang agak buruk disebabkan peranan media dan tindak tanduk sebahagian besar umat Islam sendiri.

Alhamdulillah, telah diusahakan sebuah buku yang ringkas tetapi bermanfaat dalam subjek berdakwah. Ia berjudul Preaching To The Non Muslim Chinese In Malaysia tulisan Dr. Osman Abdullah @ Chuah Hock Leng. Buku ini bukan sahaja menerangkan kaedah-kaedah umum dalam berdakwah tetapi mengkhususkannya kepada metode berdakwah kepada kaum cina.

Yang terakhir tidak kurang pentingnya kerana seorang pendakwah harus mengetahui latar belakang agama, sosial dan kebudayaan kaum yang didakwahkannya. Merujuk kepada kaum cina, Dr. Osman Chuan telah memberikan beberapa faktor yang khusus kepada kaum cina yang menjadi penghalang untuk mereka menerima Islam. Faktor pertama dan terpenting ialah BANGSA.

Telah menjadi satu bentuk kefahaman di Malaysia bahawa Islam ialah Melayu dan Melayu ialah Islam. Islam bukan sesuatu yang mencirikan agama tetapi mencirikan bangsa.

Ini adalah faktor penghalang utama bagi kaum cina untuk memeluk Islam di Malaysia. Ini kerana bagi kaum cina, yang penting bukan faktor agama tetapi faktor bangsa.

Kaum cina sangat menghargai bangsa mereka sebagai satu bangsa yang memiliki tamadun dan kebudayaan yang amat tinggi sejak ribuan tahun yang lalu. Kaum cina adalah satu bangsa yang amat maju, sentiasa bergerak ke hadapan, memiliki bahasa yang tersendiri dan lain-lain ciri keistimewaan yang tidak tertanding oleh bangsa lain.

Apabila Islam difahami sebagai satu bentuk bangsa, ia bererti memeluk Islam ialah menukar bangsa, daripada bangsa bukan Melayu kepada bangsa Melayu. Ini adalah satu perkara yang amat berat untuk diterima oleh kaum cina. KEBERATAN INI BUKAN KERANA KAUM CINA MEMBENCI ISLAM ATAU MEMANDANG RENDAH BANGSA MELAYU TETAPI KERANA MEREKA MENGHARGAI BANGSA MEREKA SENDIRI.

Untuk mengatasi masalah ini, kita umat Islam perlu mengubah “fahaman” dan “praktik” yang mengidentitikan Islam sebagai Melayu. Antaranya:

1. Kaum cina yang memeluk Islam tak perlu tukar ke nama Melayu.
2. Kaum cina yang memeluk Islam tak perlu pakai kain pelekat, baju batik dan songkok.
3. Kaum cina yang memeluk Islam tak perlu meninggalkan acara-acara kebudayaan mereka selagi mana ia tidak melibatkan unsur syirik.

Selain faktor bangsa, Dr. Osman Chuah telah menggariskan beberapa faktor penghalang yang lain.
Faktor-faktor ini sangat perlu diketahui oleh umat Islam Malaysia supaya usaha dakwah kita kepada kaum cina dapat dijalankan dengan lebih efektif.

Memandangkan kita pada setiap hari di setiap tempat tidak berpisah daripada berinteraksi dengan kaum cina, tidak berlebihan jika saya berpendapat buku ini wajib menjadi satu sumber rujukan kepada kita semua dalam menyambut firman Allah yang bermaksud:

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik [al-Nahl 16:125].

Sekian, wassalam.