1) Tangani Anak Degil

Saya mempunyai sepasang cahaya mata (lelaki dan perempuan) yang berusia lapan dan empat tahun. Anak lelaki saya mempunyai karektor yang amat aktif dan lasak begitu juga dengan anak perempuan yang sedang meningkat ke alam gadis sunti. Kedegilan mereka kadang kala mencabar kesabaran saya sebagai ibu. Saya tidak mahu terlalu memarahi mereka tetapi jika tidak berbuat demikian mereka akan ‘naik kepala’. Jadi apakah kaedah terbaik mengikut ajaran Islam untuk seorang ibu amalkan bagi mendidik anak-anak mendengar kata dan tidak degil? 

Ibu runsing, Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur.

 

Jawapan: Anak-anak, berapa pun umur mereka, amat ingin perhatian daripada kedua-dua ibubapa mereka. Kerap kali anak-anak pada zaman perlumbaan harta dan kedudukan masa kini tidak mendapat perhatian ibubapa kerana ibubapa sibuk berkerja dari awal pagi hingga lewat malam. Waktu berkualiti sekali sekala hanya diperolehi pada hujung minggu dan hari cuti umum. Adapun pada hari-hari lain, anak-anak terbiar di bawah didikan ibu angkat, iaitu pekerja warga asing yang berkerja di pusat penjagaan kanak-kanak atau sebagai pembantu rumah.

Justeru atas ketandusan perhatian ini, anak-anak akan guna apa saja jalan atau cara untuk memperoleh perhatian ibubapa mereka. Satu cara berkesan yang mereka ketahui ialah dengan bersikap nakal kerana dengan kenakalan itulah mereka akan memperolehi perhatian ibubapa. Sekalipun perhatian itu dalam bentuk kemarahan dan hukuman daripada ibubapa.

Maka untuk mengurangkan kenakalan anak-anak, cuba susun semula prioriti kehidupan anda agar lebih perhatian dapat diberikan kepada anak-anak. Juga, cuba ubah sikap anda terhadap anak-anak dengan memberi perhatian yang lebih apabila mereka melakukan sesuatu yang baik, sama ada dengan kata-kata pujian, belaian kasih sayang atau hadiah yang sesuai dengan umur mereka. Bertahap-tahap, anak-anak akan sedar perhatian ibubapa dapat mereka perolehi dengan bersikap baik sehingga dengan itu mereka akan menjauhi sikap nakal.

Namun jangan mengharapkan anak-anak menjauhi sikap nakal sepenuhnya. Alam kanak-kanak ialah alam bermain-main dan ini sering ditafsirkan oleh ibubapa sebagai kenakalan. Jangan merompak alam bermain-main daripada kanak-kanak kerana dibimbangi ia akan memberi kesan kepada pembesaran mereka.

 

2) Doa Halang Anak Bergaduh

Bergaduh di kalangan adik beradik yang masih kecil adalah lumrah. Tetapi kadang kala pergaduhan tanpa henti memeningkan kepala ibu dan ayah. Bolehkah berkongsi doa yang boleh diamalkan untuk menghalang anak-anak daripada bergaduh sesama mereka? Terima kasih.

M.Syukri, Damansara, Kuala Lumpur.

 

Jawapan: Setahu saya tidak ada doa khusus yang diajar oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih untuk menangani cabaran anak-anak yang suka bergaduh. Maka boleh saja berdoa dengan susunan ayat tersendiri kerana Allah memahami semua doa daripada para hamba-Nya.

Namun doa hendaklah diikat dengan usaha, maka perlu dicari sebab mengapa anak-anak kerap bergaduh. Antaranya ialah teladan dari orang yang terdekat dengan mereka, iaitu ibubapa mereka sendiri. Perlu diketahui bahawa anak-anak lebih mudah mengikuti aksi daripada perkataan ibubapa. Action speaks louder than words. Dibimbangi dalam kes di atas, ibubapa kerap bergaduh sesama mereka sehingga akhirnya aksi itu diteladani oleh anak-anak. Maka sebagai solusi, selain daripada menasihati anak-anak untuk kurangkan kekerapan bergaduh, ibubapa hendaklah mencermin-cermin diri mereka sendiri.

 

3) Isteri vs Ibu Mentua

Saya sudah berkahwin hampir tiga tahun atas restu keluarga kedua belah pihak. Sepanjang usia perkahwinan saya dapati sikap isteri  terhadap ibu saya amat tidak mesra. Dia tidak sukakan ibu saya kerana saya perasan bila kami hendak pulang ke kampung atau ibu datang menjenguk pasti dia akan menarik muka masam dan melayan ala kadar sahaja. Puas saya menasihatinya tetapi dia tetap begitu. Saya buntu bagaimana hendak mengubah sikap isteri terhadap ibu.

Suami bengang, Parit Buntar, Perak.

 

Jawapan: Apabila wujud pergeseran di antara dua pihak, hendaklah ada juru damai yang bersikap adil dengan menganalisa puncanya dari kedua-dua pihak dan memberi nasihat serta jalan keluar kepada kedua-dua pihak. Dalam soalan di atas, kelihatannya suami telah bertindak sebagai juru damai yang tidak adil kerana hanya menyalahkan isterinya dan mahukan isterinya yang berubah.

Suami perlu bersikap adil dengan berbicara kepada ibunya pula. Mungkin, ibunya sendiri yang tidak senang dengan isterinya dan hal ini dikesan oleh isteri. Mungkin, ibu hanya senyum kepada isteri apabila suami hadir, menarik muka masam apabila suami tiada. Maka di samping bertanya dan menasihati isteri, suami hendaklah juga bertanya dan menasihati ibu. Malah memberi motivasi kepada ibu untuk memulakan proses “pendamaian” kerana sikap mesra orang yang lebih tua tentu akan disambut baik oleh orang yang lebih muda.