KFC, Hungry Jacks dan McDonalds. Demikian tiga restoran makanan segera yang tersusun sebelah menyebelah di William street, berhampiran persimpangan Murray Mall street. Dari sudut hukum fiqh, ketiga-tiga restoran itu halal kerana merupakan sembelihan ahli kitab, sekalipun hukum ini agak kurang masyhur di kalangan muslimin Malaysia. Walaubagaimanapun selera saya untuk sarapan di Perth, Australia pada pagi itu ialah kedai kecil milik warga Turki yang menjual kebab ayam dan kambing.   kambing.jpg

          Ketiga-tiga restoran makanan segera di atas termasuk sebahagian daripada jenama Barat yang dikempen agar dipulau (boikot) oleh umat Islam. Namun saya tidak memasuki salah satu dari restoran tersebut bukan kerana saya ikut serta dengan kempen memboikot itu, tetapi lebih kepada selera saya pada pagi 26 Januari 2009.

          Adapun kempen memboikot jenama-jenama Barat, saya memiliki pandangan yang berbeza, yang sekali lagi kurang masyhur di kalangan muslimin Malaysia. Sebabnya? Saya tidak memiliki apa-apa bukti kukuh bahawa syarikat pemilik jenama-jenama Barat itu memberi sumbangan kewangan kepada rejim zionis Israil untuk menaja aktiviti ketenteraannya. Jika sekadar pelaburan di Israil, benar bahawa syarikat-syarikat itu ada bertapak di sana. Akan tetapi syarikat-syarikat yang sama juga bertapak di negara-negara Islam dengan jumlah pelaburan yang berjuta-juta nilainya. Apabila saya bertanya kepada pihak yang aktif berkempen, mereka juga gagal mengemukakan bukti yang kukuh. Yang wujud hanya sangkaan dan Islam melarang kita daripada menghukum berdasarkan sangkaan.

          Seterusnya, pihak yang setuju dengan kempen itu hanya memboikot jenama yang mereka jarang-jarang guna. Adapun jenama yang lazim digunakan, mereka mendiamkannya. Ambil saja contoh Windows, Apple, Linux, Norton, Intel, AMD, Yahoo, Hotmail, Google dan sebagainya yang berkaitan dengan teknologi komputer, mereka tidak memboikotnya kerana sejak sekian lama telah bersahabat rapat dengan jenama tersebut.

          Ketiga, sebahagian besar daripada syarikat-syarikat itu telah membuat pelaburan di Malaysia, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Dilaporkan rangkaian restoran makanan segera McDonalds di Malaysia memiliki lapan ribu orang pekerja di mana sembilan puluh peratus daripadanya beragama Islam. Seandainya rangkaian restoran makanan segera ini dan selainnya ditutup hasil dari boikot para pelanggan, nescaya ribuan muslimin Malaysia akan kehilangan pekerjaan. Sementara syarikat itu sendiri, yang berada di kategori “syarikat gergasi dunia”, akan terus beroperasi di negara lain seperti biasa.

          Salah satu kaedah dasar dalam Islam ialah, apabila bertembung dua mudarat dalam satu waktu yang sama, maka hendaklah dielakkan mudarat yang lebih besar. Di sini kita berhadapan dengan dua mudarat. Mudarat pertama ialah sebahagian daripada duit belanja pelanggan disalurkan ke ibu syarikat di negara Barat. Namun ini masih terbuka kepada kebarangkalian sama ada duit itu digunakan untuk menaja aktiviti ketenteraan rejim zionis Israil atau tidak.

          Mudarat kedua ialah ramai umat Islam tanah air akan kehilangan pekerjaan, diikuti dengan merudumnya keadaan ekonomi, meningkatnya masalah sosial dan hilangnya daya saing di kalangan pengusaha tempatan. Pada penilaian saya, mudarat kedua adalah jauh lebih besar dari mudarat pertama, oleh kerana itulah saya tidak turut menyokong kempen memboikot jenama-jenama Barat.

*****

          Kecemerlangan seseorang tidak diukur dalam suasana kebiasaan, tetapi dalam suasana kritikal dan genting. Dalam kerjaya saya umpamanya, kecemerlangan seorang juruterbang tidak diukur dalam suasana cuaca yang indah atau keadaan teknikal pesawat yang sihat semuanya, tetapi diukur dalam suasana cuaca ganas atau keadaan teknikal pesawat yang sedang luka parah.

          Demikianlah juga kalau dapat dikaitkan dengan tindak tanduk kita. Tindakan rejim zionis Israil membedil Gaza melahirkan suasana genting bagi kita muslimin Malaysia dan dalam suasana inilah kecemerlangan kita dinilai dan diukur berdasarkan takaran sunnah yang sahih.

           Selain kempen memboikot yang saya dengan serah penilaiannya kepada para pembaca sekalian, beberapa tindakan lain yang menepati sunnah ialah menginfaq dan menghimpunkan dana bagi membantu mangsa di Gaza. Ada juga yang melaksanakan qunut nazilah dan solat hajat, namun qunut nazilah lebih menepati sunnah.

          Timbul perbezaan pandangan berkenaan tindakan rapat umum, adakah ia menepati sunnah atau tidak? Sebenarnya ia bergantung kepada tujuannya. Jika rapat umum diadakan atas tujuan membantah pihak pemerintah maka ia jelas bertentangan dengan sunnah. Sebaliknya jika rapat umum diadakan atas tujuan selain itu, maka ia dibolehkan selagi mana keamanan dan kemaslahatan umum tidak terganggu.

          Tidak ketinggalan, ada juga yang bermurah hati memanjangkan sms bahawa konon syaikh sekian-sekian meminta umat Islam membaca ayat tertentu dalam surah al-Fath dan surah-surah lain. Terhadap tindakan ini, seandainya keldai-keldai dapat memahami bahasa manusia, nescaya mereka ketawa berdekeh-dekeh kehairanan mengetahui wujudnya manusia yang lebih bodoh daripada mereka.