Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan dan janganlah Engkau adakan dalam hati kami iri hati atau permusuhan terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat Penyantun lagi Penyayang.” [Surah al-Hasyr, ayat 10]

Beberapa pengajaran doa:
  1. Doa ini asalnya diucapkan oleh orang-orang Islam di Kota Madinah ketika menerima penghijrahan orang-orang Islam dari Kota Mekah. Akan tetapi lafaz dan maksud doa berbentuk umum, jadi boleh juga diamalkan oleh umat Islam pada setiap zaman dan tempat.
  2. Pertama sekali dalam doa ini, kita memohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Tidak sekadar itu, kita juga memohon Allah mengampun dosa-dosa sesama umat Islam, samada yang kita kenal atau tidak, sama ada yang dekat mahupun jauh.
  3. Kemudian kita memohon kepada Allah agar jangan ada walau sekelumit dalam hati kita perasaan iri hati, dengki, membenci, bermusuhan atau apa-apa sikap buruk yang lain terhadap sesama umat Islam. Ini penting kerana tidaklah umat Islam saling bercakaran dan berpecah melainkan wujudnya sifat buruk di dalam hati mereka terhadap sesama umat Islam.
  4. Apabila kita mendoakan keampunan kepada sesama umat Islam dan hati yang bersih terhadap mereka, secara tidak langsung kita menyemai benih-benih kasih sayang, saling menghormati dan persatuan dalam diri kita dan sesama umat.
  5. Doa yang penting ini amat baik jika dapat dibaca secara kerap, seperti setiap kali selepas solat fardhu.