Saya berjalan dengan langkah yang berat, separuh hati dari tempat memakir kereta ke surau. Banyak perkara penting yang hendak dibuat, dikaji, ditulis…masa itu emas. Namun di bawah sinar matahari yang terik itu, fikiran saya mengulang-ulang beberapa hadis keutamaan solat Jumaat dan keistimewaan hari Jumaat. Termasuklah hadis-hadis yang menerangkan bagaimana Rasulullah SAW berkhutbah sehingga para sahabat yang mendengarnya menjadi bersemangat kerana motivasi yang diberikan, atau mengalir air mata kerana peringatan yang membekas.

man_walking_to_masjid.jpg

Pada masa kini di kalangan sebahagian makmum ada juga yang mengalirkan air mata ketika mendengar khutbah. Bukan kerana peringatan yang membekas di kalbu tetapi kerana berjihad menahan mengantuk. Sebahagian lagi makmum ada yang mengangguk-angguk sambil mendengar khutbah. Bukan kerana mengiyakan bicara khatib, tetapi kerana terlena kebosanan mendengar bacaan khatib. Selebihnya ada yang kelihatan fokus mendengar, saya harap mereka fikiran mereka turut mendengar dan tidak melancong ke tempat yang lain.

          Saya kerap berada di antara menahan tidur dan tertidur, tidak ada yang hendak saya sembunyi-sembunyikan tentang hal ini kerana saya yakin saya tidak berseorangan. Memang, sunnah mengajar kita untuk bangun berpindah tempat duduk jika mengantuk [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1119]. Namun jika sunnah ini hendak dipraktikkan, nescaya ramai orang yang akan berjalan-jalan di masjid dan surau berpindah tempat duduk ketika khutbah di sampaikan. Tidak ketinggalan akan ada bisikan-bisikan dari mereka yang suka bersedekah dengan lisannya: “Tengoklah! Yang berpindah-pindah tempat duduk tu, mereka tu Wahabi! Mana boleh tukar-tukar tempat duduk ketika khatib berkhutbah?”

          Lebih dikesali, khutbah pada masa kini jarang-jarang dimanfaatkan untuk menyampaikan ilmu yang benar berkenaan isu-isu semasa. Di dunia secara umum, di Malaysia secara khusus, boleh dikatakan hampir setiap minggu akan ada minimum satu isu yang berkaitan umat Islam. Ketika saya menulis ruangan ini (5 Feb 2010), masih hangat dibicarakan isu penggunaan kalimah Allah oleh kaum belum Islam.

          Bertitik tolak dari isu ini timbul isu-isu sampingan yang lain seperti pembakaran gereja, kelahiran golongan mujahidin untuk menjaga gereja dan keterampilan NGO-NGO Muslim yang membuat sidang akhbar – berijma’ membantah aksi pembakaran gereja. Pada waktu yang sama ditunggu juga langkah seterusnya oleh golongan yang sama di atas apabila kepala khinzir di baling ke dalam beberapa masjid umat Islam. Entah ke mana perginya golongan mujahidin dan NGO-NGO tersebut?

          Di sebalik semua itu, fakta penting yang ingin saya sampaikan adalah, khutbah boleh dan patut memainkan peranan untuk menyampaikan pendapat yang benar lagi sahih dalam isu-isu seumpama di atas. Jika tidak, masing-masing umat Islam akan terpaksa berijtihad dengan pendapat itu dan ini di alam maya, sama ada dalam blog, forum dan sebagainya. Khutbah juga patut ditulis oleh orang dewasa untuk pendengar dewasa. Ini saya tekankan kerana kerap kali subjek yang disampaikan oleh khutbah adalah sesuatu yang juga sedang dipelajari oleh anak-anak makmum di bangku sekolah rendah dan menengah.khutbah_jumaat.jpg

          Tiba-tiba kekhusyukan saya merungut tentang khutbah diganggu oleh suara khatib yang lantang lagi bersemangat. Hanya dengan khutbah pembukaannya, saya dapat menangkap sesuatu yang berbeza. Memanjangkan leher, saya melihat di belakang mimbar khatib yang memakai baju melayu biasa dan kopiah. Dia tidak memakai jubah hitam dan sarung kepala umpama paderi gereja Katholik.

          Berdasarkan perkataan yang dituturkan beliau, saya bisa menangkap bahawa khatib adalah saudara seagama kita dari Indonesia. Berdasarkan gaya penyampaian beliau, saya tahu beliau tidak membaca teks khutbah. Mungkin beliau telah membuat persiapan awal menghafal teks yang disediakan, mungkin beliau telah membuat poin-poin penting berdasarkan teks yang sudah disediakan atau mungkin beliau berkhutbah berdasarkan susunan mindanya tersendiri. 

          Apa yang penting, gaya penyampaian yang tidak dibelenggu oleh teks menyebabkan khutbahnya menjadi menarik. Topik menarik “Kemahiran Rasulullah Berkomunikasi” menjadi lebih menarik melalui gaya penyampaian bebas. Ia tidak tersangkut-sangkut seperti apa yang kadang-kala berlaku di kalangan khatib yang tidak membuat rehearsal sebelum khutbah. Ia tidak berlebih-lebihan umpama lembu yang memutar-mutar lidahnya [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5005] seperti yang kadang-kala berlaku di kalangan khatib yang ingin menunjukkan kefasihan dalam berkata. Seronok sambil khusyuk mendengar, khatib menutup khutbahnya dengan doa.

          Rumusan yang dapat saya ambil, Rasulullah SAW pandai berkomunikasi secara ilmiah dan hikmah, berbeza dengan umat Islam masa kini yang lazimnya berkomunikasi secara emosi dan demonstrasi. Khutbahnya agak ringkas, menandakan khatib orang yang memiliki kefahaman agama sebagaimana isyarat Rasulullah: “Sesungguhnya panjangnya solat seseorang dan pendeknya khutbah menandakan kefahamannya (terhadap agama), maka panjangkanlah solat dan pendekkanlah khutbah kerana termasuk (dari kesan) penjelasan (dari khutbah yang pendek) ialah ia dapat memberi pengaruh yang mendalam.” [Shahih Muslim, no: 869]

          Jika sebelum solat saya berjalan lemah, kini selepas solat saya berjalan semangat. “Alhamdulillah, khutbah yang menarik, khatib yang bagus. Alangkah baik jika setiap khutbah dan khatib menepati ciri ini, atau lebih baik. Objektif khutbah Jumaat akan tercapai” bisik hati saya kepuasan, sekali gus mencetus ilham bagi saya menulis untuk kolum bulanan saya dalam majalah i.

          Sekalipun bernada kritikan, tujuan saya bukanlah untuk meremehkan penulis teks khutbah dan para khatib yang membacanya. Saya menulis dengan harapan para penulis khutbah dan para khatib dapat menganalisa semula apa yang dilakukan selama ini dan mencari jalan-jalan untuk memperbaikinya. Khutbah adalah satu sarana komunikasi yang amat bernilai, maka manfaatkanlah ia. Jika tidak, dibimbangi ramai di kalangan hadirin yang memahami sunnah berjalan-jalan di masjid ketika khutbah di sampaikan, berpindah-pindah tempat duduk.