Soalan:

Saya sudah memiliki teman lelaki yang baru dan kini kami sudah bertunang. Namun teman lelaki saya yang lama masih menghubungi saya dan meminta saya kembali kepadanya. Ini banyak mengganggu ketenteraman saya. Tunang saya ada memberikan saya sebuah tangkal, katanya ia dapat menjaga saya dari gangguan teman lelaki yang lama itu atau dari mana-mana lelaki lain. Beliau juga berkata tangkal tersebut dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an oleh seorang ustaz. Akan tetapi saya ragu-ragu untuk memakainya. Apakah pandangan Islam tentang memakai tangkal?

 

Jawapan:

Amalan memakai tangkal tidak akan menjaga atau memelihara pemakainya dari gangguan teman lelaki yang lama, mahupun mana-mana lelaki yang lain. Sebaliknya ia akan menambah-nambah gangguan tersebut.

Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki yang memakai ikatan di tangannya umpama tangkal. Apabila ditanya oleh Rasulullah apakah itu, dia menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung dari penyakit al-Wahinah.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan (yakni bertambah-tambah sakit). Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067 dengan sanad hasan]

Lebih dahsyat, tangkal merupakan satu amalan syirik kerana orang yang memakainya atau memakaikannya kepada orang lain sedikit atau banyak akan mengharapkan kekuasaan dari tangkal tersebut. Padahal harapan tersebut hendaklah difokuskan kepada Allah sahaja. Oleh kerana itulah dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sungguh dia telah berbuat syirik.” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan]

Mungkin ada yang berhujah, tangkal hanyalah jalan tengah antara pemakai dan Allah. Allah jua yang akan membantu dan melindungi. Hujah ini dipatahkan oleh hadis berikut: “Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan] Ini kerana dalam Islam, hubungan seorang hamba dengan Allah adalah secara terus, ia tidak memerlukan “orang” atau “alat” sebagai perantara. Oleh itu jika memerlukan sesuatu perlindungan atau hajat, maka mintalah terus kepada Allah.

Perhatikan juga dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah menyebut tangkal secara umum tanpa membezakan sama ada ia dijampi dengan ayat al-Qur’an atau selainnya, sama ada ia dijampi oleh seorang ustaz, imam atau sesiapa jua. Asalkan ia adalah tangkal dalam apa jua bentuk, maka ia adalah syirik, diabaikan oleh Allah dan menambah keburukan di sebalik apa yang diharapkan. Justeru janganlah anda memakai tangkal tersebut dan nasihatilah tunang anda bahawa amalan tangkal adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain itu ingin ditambah bahawa dalam Islam tidak ada “teman lelaki” dan “teman wanita”, tidak ada “boyfriend” dan “girlfriend”. Setiap lelaki dan wanita hendaklah menjaga batas-batas perhubungan mereka, seolah-olah ada dinding pemisah di antara satu sama lain. Dinding ini hanya dapat dirobohkan selepas pernikahan. Adapun pertunangan, ia hanyalah perjanjian untuk berkahwin pada satu tarikh yang dipersetujui. Ia bukan lesen untuk bergaul bebas, saling bersentuhan dan berpacaran.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa: “Berhati-hatilah, jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tangan-Nya, tidaklah berduaan seorang lelaki dan wanita melainkan masuk syaitan di antara keduanya.Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita yang tidak halal baginya.” [Riwayat al-Thabarani, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 2855 dengan sanad yang lemah]