Soalan:

Berkahwin dan memiliki pasangan merupakan impian setiap insan tetapi tidak bagi saya. Saya tidak bersedia untuk berkongsi kehidupan bersama orang lain tetapi dalam masa yang sama saya juga risau akan bersendirian pada hari tua nanti. Apa yang perlu saya lakukan?

 

Jawapan:

Hidup berpasangan suami-isteri bukan sekadar kebiasaan manusia, namun ia adalah antara tujuan Allah mencipta manusia itu sendiri. Firman Allah: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Ruum 30:21]

Jika anda tidak bersedia untuk berkahwin, maka berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan kepada anda ilmu, kecenderungan, persediaan dan pasangan yang sesuai untuk hidup sebagai suami isteri. Hidup sebagai suami isteri jika dilakukan secara betul memang indah, kerana itulah kita dapati ramai orang yang berusaha ke arah perkahwinan. Janganlah pula anda ketinggalan.