clock_counting_new_year.jpg

          Alhamdulillah, kita telah melangkah ke tahun 2010. Bagi orang yang hidupnya tidak bermatlamat, malam 31 Disember 2009 menjadi malam mengira detik jam, berpesta, melancarkan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti lagha (sia-sia). Akan tetapi bagi mereka yang hidupnya penuh misi dan visi – tentu sekali di antaranya ialah pembaca majalah i – malam 31 Disember merupakan malam yang menghampirkan dirinya kepada perhitungan di hadapan Allah. Masa berjalan, tahun bersilih ganti, umur meningkat. Kita memang akan dihitung di hadapan Allah dan setiap kali masuknya tahun baru, kita semakin hampir kepada perhitungan itu. 

          Dengan tempoh masa yang semakin dekat kepada perhitungan, pengadilan dan balasan syurga atau neraka, apakah keyakinan dan amalan kita sepanjang tahun 2009 menjamin perhitungan yang mudah dan berat ke arah syurga? Pertanyaan berbentuk mengaudit diri sendiri ini pernah dikemukakan oleh Allah di dalam al-Qur’an:

          “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” [al-Hasyr 59:19]

          Apakah dalam rangka mengucapkan “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, kita masih berjumpa dengan bomoh apabila ada di antara barang kita yang hilang? Apakah kita percaya kepada dorongan sebahagian pakar motivasi bahawa kejayaan dalam hidup bergantung kepada tarikh, bulan atau tahun kita dilahirkan? Semua ini perlu kita renungi kerana apabila kita mengucapkan “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, ia juga bererti tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib melainkan Allah. Ke mana barang kita menghilang, apa faktor penentu kejayaan tidak boleh diramalkan oleh seorang bomoh yang berserban kemas atau seorang pakar motivasi yang bertali leher jenama Itali. Menyakini kebolehan manusia meramal merupakan satu keyakinan yang menyekutukan keesaan Allah dan ini memberi natijah yang amat buruk, sebagaimana firman Allah: 

          Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan umatmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.) [az-Zumar 39:65]

          Setelah keyakinan, maka kita perlu mengaudit amalan kita pula. Menyentuh tentang amalan, janganlah disempitkan kepada amalan ibadah sahaja seperti solat, puasa dan haji serta umrah, tetapi hendaklah diperluaskan kepada amalan yang melibatkan kemaslahatan agama dan masyarakat. Ini kerana amalan yang memberi maslahat kepada orang ramai menghasilkan pahala sebanyak orang yang menerima kemaslahatan itu berbanding amalan yang memberi maslahat kepada diri sendiri, ia menghasilkan pahala seorang sahaja.

          Pernah saya terbaca sebuah artikel yang menerangkan peranan umat Islam masih minimum dalam kerja-kerja sukarelawan dan kemasyarakatan. Jika adapun, ia sering kali terlewat, ketinggalan di belakang berbanding rakan-rakan yang belum Islam. Padahal Allah menyuruh kita berlumba-lumba untuk melakukan amal shalih mendahului kaum belum Islam, sebagaimana firman-Nya:

          “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [al-Baqarah 2:148]

          Maka sempena tahun 2010 ini, marilah kita mengaudit keyakinan dan amalan kita pada tahun 2009. Bukan sekadar audit, tetapi dengan keazaman untuk menapis apa yang tercemar, menambah apa yang kurang, meluaskan apa yang sempit, memperbaiki apa yang baik, membetulkan apa yang salah. Bukan sekadar keazaman bulan pertama sahaja, tetapi keazaman yang menyebabkan kita berlumba-lumba sepanjang tahun, sepanjang hidup.

          Ini menjadi ingatan kepada diri saya dan para pembaca yang budiman sekalian, kerana kita kerap kali berlumba-lumba tetapi dalam perlumbaan yang berlainan arah. Marilah kita merenung ayat-ayat surah at-Takatsur yang lazim kita baca, bahkan mungkin telah menghafalnya:

         “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal shalih) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur.

          Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada Hari Kiamat)!

          Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk Hari Akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin!

          Kemudian, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmatinya di dunia dahulu).”